Lima Penyamun ‘Geng Ben’ Tumpas

SANDAKAN: Polis berjaya menumpaskan geng samun dikenali Geng Ben apabila menahan lima suspek termasuk seorang wanita yang dipercayai terbabit dalam kegiatan samun di daerah ini.

Semua suspek yang berusia 26 hingga 38 tahun itu ditahan antara 14 hingga 18 Julai lalu di daerah ini dan Lahad Datu.

Susulan penahanan itu, polis percaya berjaya menyelesaikan dua kes samun di Bandar IJM dan Jalan Leila, awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berkata mereka antara 53 suspek yang ditahan sepanjang Jun hingga semalam yang terbabit dalam pelbagai kegiatan jenayah termasuk samun, pecah rumah dan curi kenderaan.

Katanya, penahanan itu membabitkan 41 kes dan 103 unit barangan yang dirampas termasuk kereta curi, dua motosikal serta sebuah kereta sewa yang dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah.

“Hasil pemeriksaan ke atas semua tangkapan turut mendapati 40 daripada mereka positif dadah jenis syabu.

“Ia kejayaan berterusan dalam usaha membasmi jenayah secara proaktif khususnya untuk menjaga kepentingan masyarakat awam,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Mohd Azhar berkata, pihaknya terus komited untuk menurunkan jenayah indeks dan bagi tempoh Januari sehingga semalam, sebanyak 22 kes penurunan direkodkan iaitu 319 kes berbanding 341 kes tempoh yang sama tahun lalu.

“Kita berjaya menyelesaikan 52.66 peratus kes, manakala kes yang berjaya dituduh adalah 48.60 peratus,” katanya.

Mengenai sambutan Aidiladha, Mohd Azhar berkata, pihaknya akan menempatkan 21 pasukan yang akan memantau aktiviti penduduk di daerah ini, sekali gus memastikan penduduk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Katanya, pasukan itu tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan dan mengenakan kompaun jika mendapati ada pihak yang tidak mematuhi SOP.

“Kita telah sediakan 21 pasukan pemantau yang akan pantau di tempat yang ada raya korban untuk lihat SOP patuh atau tidak. Kalau langgar, kompaun. Saya nasihatkan (kepada penduduk) berilah kerjasama,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *