Kemalangan Maut, Lelaki Dipenjara 6 Tahun Denda RM10,000

Tertuduh (tengah) sempat bertemu adik mangsa, Salma Jakaria (kiri) selepas keputusan Mahkamah Sesyen Tawau, hari ini. – Gambar Abdul Rahemang Taiming

TAWAU: Seorang nelayan dijatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM10,000 selepas didapati bersalah menyebabkan kemalangan maut membabitkan seorang wanita di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Tertuduh Feli Boy Lokoy, 22, didakwa melakukan kesalahan itu sehingga menyebabkan kematian Suriani Jakaria berusia 27 tahun ketika kejadian.

Berdasarkan pertuduhan yang dibacakan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Batu 22, Jalan Apas, dalam daerah Tawau pada pada 20 Disember 2018, pukul 10.45 pagi.

Ketika kejadian, tertuduh didakwa memandu sebuah kenderaan sebelum terbabas dan merempuh mangsa yang sedang menunggu bas di situ.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 10 tahun dan denda antara RM5,000 RM20,000, jika sabit kesalahan.

Terdahulu menerusi perbicaraan penuh bermula 28 November 2019, pihak pendakwaan mengemukakan tujuh saksi terdiri daripada polis, waris, Pusat Pemeriksaan Kenderaan Bermotor (PUSPAKOM) dan saksi bebas.

Tertuduh dalam rayuannya memohon diringankan hukuman memandangkan hanya dia yang bekerja menyara keluarga dengan pendapatan kasar sebagai nelayan sebanyak RM1,000 sebulan.

Selain itu, tertuduh juga memaklumkan bahawa isterinya sedang mengandung anak pertama mereka.

Dalam masa sama tertuduh merayu penangguhan hukuman sementara menunggu rayuan dilakukan.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan meminta Mahkamah menjatuhkan hukuman berat selepas mengambil kira kepentingan awam, selain kesan terhadap keluarga terutamanya dua anak mangsa yang masih kecil selepas kematiannya.

Adik mangsa, Salma Jakaria, 26, sehingga kini, mereka sekeluarga terkesan dengan pemergian Allahyarham memandangkan dia seorang baik dan ceria dalam keluarga.

Malah kini, Salma dan ibu mereka mengambil alih tanggungjawab membesarkan dua anak mangsa yang berusia tujuh dan 12 tahun.

Sementara itu, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau Amir Shah Amir Hassan berkata, selepas mengambil kira hujah kedua-dua pihak, mahkamah berpendapat hukuman dilakukan selepas mengambil kira kesan terhadap keluarga mangsa dan kepentingan awam.

Sehubungan itu, tertuduh dikenakan hukuman penjara enam tahun bermula hari ini dan denda RM10,000, atau tambahan enam bulan penjara jika gagal membayar denda.

Selain itu, tertuduh juga hilang kelayakan lesen memandu selama tiga tahun bermula tarikh sabitan kesalahan.

Amir Shah turut menolak rayuan pihak pembelaan untuk menangguhkan hukuman selepas mendapati tiada keperluan khas tertuduh untuk berbuat demikian.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Asisten Superintenden Joan Lee manakala tertuduh diwakili peguam  Azman Baginda. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *