Empat Pemimpin WARISAN Terus Setia Bersama Ketua Menteri

KOTA KINABALU: Empat lagi pemimpin Parti Warisan Sabah (WARISAN) menyatakan pendirian mereka untuk terus bersama dan menyokong Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang juga Presiden WARISAN.

Mereka turut menjelaskan bahawa pendirian untuk kekal setia bersama WARISAN itu juga demi kepentingan rakyat yang dianggap lebih penting daripada terus berpolitik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk, Datuk Musbah Jamli, berkata semua pemimpin pada masa ini seharusnya memikirkan masalah dihadapi rakyat dan bukannya hanya berpolitik.

“Saya berpendirian untuk terus bersama ketua menteri, walaupun ada desas desus kononnya kerajaan bertukar. Bagi saya, ia hanya spekulasi biasa dalam politik.

“Kita sebagai pemimpin seharusnya menjalankan tugas dan tanggungjawan kita kepada rakyat, itu yang lebih penting…bukannya berpolitik tidak habis-habis, pilihan raya sudah selesai, kita tunggu saja pilihan raya nanti, siapa yang rakyat mahu,” katanya ketika ditemui selepas perjumpaan bersama Ketua Menteri, di sini hari ini.

Mengenai sama ada beliau turut menerima tawaran daripada pihak tertentu, Musbah berkata beliau ada juga menerima panggilan daripada orang tertentu tetapi ia tidak perlu dilayan.

“Ia adalah perkara biasa (terima panggilan) tetapi ia tidak perlu dilayan…apa yang penting fokus kepada kerja, seperti Kota Belud baharu dilanda banjir dan banyak yang perlu dilakukan.

“Ini yang lebih penting untuk dibincangkan dengan ketua menteri, bukan soal politik,” katanya.

Bagi ADUN Sebatik yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, Datuk Muis Picho, berkata setakat ini tiada mana-mana ejen atau tawaran diterimanya untuk berpindah parti.

“Setakat ini saya hanya menandatangani satu sahaja akuan bersumpah (SD) iaitu di sini (WARISAN). Tawar-menawar belum ada berkaitan politik, yang telefon untuk berjumpa pun belum ada.

“Pendirian saya masih kekal dengan WARISAN,” katanya.

Sementara itu, ADUN Lahad Datu yang juga Pembantu Menteri Luar Bandar, Dumi Pg Masdal, menjelaskan bahawa beliau turut menjadi sasaran ejen pemujuk menyertai parti lawan.

“Memang ada tawaran termasuk dijanjikan sebagai pembantu menteri dan diberi wang RM5 juta malah juga dijanjikan sebagai calon. Tapi saya tolak dengan baik dan cakap sekarang pun

saya sudah pembantu menteri.

“Walaupun saya orang baru dalam politik, tetapi saya ada pendirian, kita tidak akan lawan ketua malah tetap teguh bersama WARISAN walau apa terjadi. Walau banyak cubaan tapi Insha Allah saya tetap bersama parti ini,” katanya.

ADUN Banggi yang juga Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi negeri, Mohammad Mohamarin, berkata keadaan seperti ini iaitu memujuk wakil rakyat untuk beralih arah adalah tidak baik.

“Ia bukan gambaran atau contoh yang baik kepada masyarakat kita terutama golongan muda. Keadaan seperti ini (memujuk) tidak seharusnya berlaku.

“Pada asasnya memang ada (memberi tawaran) termasuk mereka yang sudah kita kenal lama selain keluarga. Kita hanya merakamkan terima kasih dengan ingatan mereka tetapi kita jelaskan juga bahawa kita masih berdiri teguh bersama ketua menteri,” katanya. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *