Warganet Risau Wujud ‘Kluster Keputusan Najib’

Sebahagian daripada para penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkumpul di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. 

KUALA LUMPUR: Kehadiran ribuan manusia di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini dikhuatiri akan mewujudkan kluster jangkitan Covid-19 baharu.

Rata-rata warganet yang mengikuti siaran langsung suasana di pekarangan kompleks mahkamah ini di laman Facebook Utusan Online meluahkan kerisauan tersebut melihat orang ramai yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika menanti keputusan perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya mohon para peserta di lokasi untuk mematuhi arahan penjarakan sosial. Kita perlu ingat Covid-19 masih ada. Jangan sampai ada kluster perhimpunan di depan Kompleks Mahkamah,” tulis seorang pengguna Facebook, Sallehuddin Ismail.

Pemerhatian Utusan Online mendapati sebahagian besar penyokong Najib yang berkumpul di luar mahkamah bukan sahaja tidak mematuhi penjarakan sosial, malah ada antara mereka tidak memakai pelitup muka dengan betul.

Najib merupakan bekas Perdana Menteri pertama yang didakwa di mahkamah di negara ini menghadapi tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana syarikat SRC International Sdn. Bhd. (SRC International) berjumlah RM42 juta.

Sabit kesalahan, beliau boleh dihukum penjara antara dua hingga 20 tahun dan juga boleh didenda jutaan ringgit.- Utusan Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *