Semua Kontak Kes Baharu Covid-19 Di Penampang Sudah Dikesan

Dr Christina Rundi

KOTA KINABALU: Pihak berkuasa sudah mengesan kesemua kontak kes Covid-19 terbaru di bandaraya ini dan juga di daerah Penampang, kata Datuk Dr Christina Rundi.

Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah itu berkata, kesemua mereka yang ada berhubungan terus dengan kes Covid-19 yang baru dikesan itu, sudah menjalani saringan dibawah prosedur operasi standard (SOP).

“Empat kes itu membabitkan semua orang tempatan di mana dua adalah lelaki, seorang wanita dan seorang lagi kanak-kanak dari Kota Kinabalu dan Penampang,” katanya.

Dua lelaki diuji positif ketika saringan dilakukan sebelum dimasukkan ke dalam wad dan dijadualkan untuk menjalani pembedahan di Hospital Queen Elizabeth di sini, manakala wanita itu pula dipercayai melakukan perjalanan ke luar negara, katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.

Dr Rundi berkata, kanak-kanak itu pula diuji positif Covid-19 ketika saringan dibuat di sebuah klinik kerajaan. Kanak-kanak itu sudah dimasukkan ke Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah di Likas.

“Tiga kes membabitkan warga tempatan itu dipercayai dijangkiti dalam komuniti tempatan manakala kes keempat membabitkan wanita dari Penampang adalah kes import,” katanya.

Oleh itu, Dr Rundi menggesa orang ramai untuk terus mematuhi SOP yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan dalam usaha untuk membendung penularan virus itu di negeri ini, yang sehingga kini merekodkan 389 kes dengan tujuh kematian.

“Tujuh lagi kes masih dalam wad di hospital untuk menerima rawatan,” katanya dan menambah bahawa 60 peratus mereka yang dijangkiti di negeri ini membabitkan kes jangkitan tempatan.

Kelmarin, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menafikan laporan di media sosial yang menularkan berita mengenai seorang pelajar Tahun Dua dari sebuah sekolah yang kononnya dijangkiti virus corona itu.

Menurutnya, ia adalah berita palsu. Berita yang viral itu menyatakan seorang murid dari sebuah sekolah di Inanam dikatakan dijangkiti dengan virus itu.

Berita itu disertakan dengan gambar yang menunjukkan Kementerian Kesihatan yang berpakaian dengan peralatan perlindungan diri sedang melakukan pembersihan di sana.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *