Rakyat Sabah Digesa Kibar Jalur Gemilang, Kobarkan Semangat Dengan SOP

KOTA KINABALU: Masyarakat Sabah digesa untuk bersama-sama menzahirkan rasa kecintaan kepada negara melalui kibaran Jalur Gemilang di kediaman dan premis masing-masing bagi menggelorakan lagi sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun ini.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Mariam Omar Matusin berkata semangat patriotisme perlu terus mekar dalam diri setiap rakyat Malaysia, meskipun pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang tidak diadakan secara besar-besaran susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Saya berharap rakyat Malaysia khususnya di Sabah dapat memberi sokongan penuh untuk menggelorakan sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang dengan kebiasaan baharu dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Kibarkanlah Jalur Gemilang di rumah, kenderaan, pejabat dan premis perniagaan sebagai tanda kita bangga menjadi anak Malaysia,” katanya dalam sesi temu bual bersama stesen radio Sabahfm sempena pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 peringkat negeri di sini, hari ini.

Mariam berkata pelancaran peringkat negeri berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah esok akan turut menerapkan kebiasaan baharu serta mematuhi SOP ditetapkan di bawah PKPP termasuk mengehadkan tetamu jemputan kepada 250 orang.

Acara menaikkan Jalur Gemilang dengan iringan nyanyian lagu Negaraku yang disiarkan secara lintas langsung bersama empat negeri lain iaitu Perlis, Johor, Terangganu dan Sarawak merupakan antara kelainan pelancaran pada tahun ini, katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mariam berkata rakyat turut digesa untuk menterjemahkan rasa sayang kepada negara dengan terus mengamalkan SOP serta kebiasaan baharu kerana kerjasama dan keprihatinan semua pihak penting dalam usaha memerangi sekali gus memutuskan rantaian penularan pandemik COVID-19- BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *