Jeffrey, Sila Tanya Persekutuan Siapa Keluarkan IC

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal meminta Ahli Parlimen Keningau, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan bertanya kepada Kerajaan Persekutuan siapa sebenarnya yang berkuasa mengeluarkan kad pengenalan (IC).

Ketua Menteri berkata, sebelum ini Jeffrey mengadakan demonstrasi menuduh beliau yang mengeluarkan IC, justeru disebabkan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) itu kini bersama Persekutuan maka mudahlah untuk mengemukakan pertanyaan itu.

JEFFREY KITINGAN

“Perkara ini penting bagi kita kerana saya ini bukan hanya dilabel waktu saya perjuangkan UMNO dulu digelar sebagai anjing Semenanjung dan lepas itu bila saya memerintah di peringkat negeri Sabah saya ini bapa PTI (pendatang asing tanpa izin) yang keluarkan kad pengenalan.

“Saya bimbang ada yang orang buat demonstrasi di jalan raya termasuk Ahli Parlimen Keningau di merata tempat nak menyatakan bahawa inilah yang dikatakan bahawa pengeluar IC.

“Sekarang dia jadi timbalan menteri dah, dah periksa sama ada ini kuasa kerajaan negeri Sabah atau pun kuasa Ketua Menteri buat IC atau pun Kerajaan Pusat, jabatan pendaftaran atau pun Imigresen?,” katanya ketika perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking ketika mencelah meminta Mohd. Shafie menyatakan pandangan beliau tentang peranan Kerajaan Persekutuan mengatasi masalah PATI di Sabah.

Sebelum ini Jeffrey mendakwa kerajaan negeri mengeluarkan dokumen termasuk IC kepada mangsa kebakaran setinggan di Sabah.

Walaupun hakikatnya agensi yang terlibat ialah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jeffry tetap menuding jari ke arah Mohd. Shafie.

Tuduhan tersebut sebenarnya hanya bertujuan meraih sokongan politik peribadi Jeffry melalui kaedah memburuk-burukkan Kerajaan Sabah.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *