Sudah-Sudahlah Bertelingkah, Kita Perlu Kerjasama Demi Rakyat

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menegaskan kesediaan beliau untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan melalui (G2G) bukanlah untuk mencari populariti politik tetapi demi menyelamatkan rakyat yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19.

Ketua Menteri berkata, pengangguran di Sabah telah mencecah lebih 100,000 orang, justeru beliau tidak mahu membuang masa untuk terus berpolitik, sebaliknya keutamaan ketika ini adalah untuk memastikan nasib rakyat terbela.

Tegas beliau, kebimbangan utama timbul jika moratorium ditamatkan, lebih ramai rakyat terpaksa berdepan dengan kekangan kewangan, justeru kerjasama G2G itu penting untuk menangani masalah yang bakal berlaku.

“Saya selalu tekankan G2G Kerajaan Persekutuan mesti kerja dengan kerajaan negeri bukan landasan politik tetapi menyelamatkan negara, menyelamatkan umat kita perlu melihat bagaimana perbezaan itu bukan oleh kerana kita mahu popular dalam gelanggang politik tetapi kita mahu menyelamatkan umat di negara ini.

“Kita nak memulihkan ekonomi di negara ini bayangkan masalah yang kita hadapi di negara ini bila moratorium ditarik balik, bila mana bil elektrik datang, bila mana bil air datang, pengganguran yang ada di negeri Sabah pada hari ini dah pun mencecah 100 lebih ribu orang-orang yang menganggur masalah yang perlu kita tangani yang perlu kita hadapi,” tegas beliau.

Beliau merangkap Ahli Parlimen Semporna berkata demikian ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Mohd. Shafie berkata, Sabah adalah negeri terkaya di Malaysia daripada segi hasil bumi dengan sumber minyak sebanyak 37 peratus atau 1.8 bilion tong daripada keseluruhan rizab minyak negara tetapi negeri ini masih lagi yang termiskin.

Sehubungan itu, tegasnya pertelingkahan yang tidak bermanfaat di Dewan Rakyat sepatutnya dihentikan perkara lebih penting ialah bagaimana pemimpin melaksanakan amalan masing-masing bukannya hanya dengan percakapan.

“Sabah merupakan negeri yang terkaya sumber minyak 37 peratus kita punya rizab minyak yang ada datang dari Sabah, 1.8 bilion tong kita mempunyai rizab yang begitu besar, kita mempunyai pengeluar gas yang terbesar di negara ini.

“Bayangkan keadaan ini yang kalau kita fokus dalam memerintah negara, memerintah negeri, tetapi tidak hanya kita lihat pertelingkahan pergaduhan tanpa batasan perkataan yang kita lontarkan dalam persidangan ini membimbangkan kita kita yang digelar ahli yang berhormat dewan yang mulia tetapi perkataan yang kita gunakan adakah kemuliaan dia daripada segi ukuran perkataan,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *