Ronaldo Bantu Juventus Juarai Serie A

Ronaldo (kiri) meraikan jaringan pembukaan Juventus pada aksi Serie A pagi ini. Foto AFP

Cristiano Ronaldo membantu Juventus meraih gelaran kesembilan berturut-turut Serie A Itali ketika pasukan itu mencatat kemenangan 2-0 mengatasi Sampdoria walaupun masih berbaki dua perlawanan.

Ronaldo meledak gol pembukaan pada lewat babak pertama di Turin dan kemudian membantu jaringan kedua oleh Federico Bernardeschi pada minit ke-66.

Pemenang lima kali Ballon d’Or, Ronaldo juga gagal menyempurnakan penalti lewat permainan tetapi skuad kendalian Maurizio Sarri sudah melebarkan jurang kepada tujuh mata berbanding pasukan tangga kedua, Inter Milan seterusnya mengesahkan kejuaraan ke-36 ‘Scudetto’.

Gelaran berkenaan adalah yang pertama buat Sarri dan melebarkan rekod yang dimulakan Antonio Conte dengan tiga gelaran sejak 2012 dan diteruskan Massimiliano Allegri dengan lima lagi gelaran.

Skuad kendalian Sarri terlepas peluang mengesahkan kejuaraan awal pagi Jumaat lalu apabila tumpas 1-2 kepada Udinese.

“Ini adalah antara pencapaian yang paling indah, sekalipun antara yang sukar kerana kami biarkan ia berlaku dan menerima akibatnya,” kata pemain pertahanan Juve, Leonardo Bonucci.

“Kami mula dengan langkah baru dengan terlalu banyak perkara yang berlaku, kami melakukan segalanya, di sebalik beberapa kecuaian.

“Ia adalah tahun yang lengkap bagi semua di dunia, ia agak sukar untuk kembali selepas beberapa bulan tidak beraksi.”

Sekalipun berusia 35 tahun Ronaldo pantas menyinar dan menjadikan ia jaringan ke 31 buatnya musim ini.

Penyerang Portugal itu sudah menjaringkan 10 gol iaitu lebih banyak daripada pemain lain di Eropah sejak saingan bola sepak disambung semula di Itali pada 20 Jun lalu.

Dia juga menyamai rekod bekas pemain Itali memenangi Piala Dunia, Felice Borel, iaitu pemain Juventus yang terakhir menjaringkan 31 gol pada musim 1933-34.

Ronaldo ketinggalan tiga gol di belakang penjaring terbanyak Serie A, Ciro Immobile, yang meledak hatrik ketika membantu Lazio menewaskan Hellas Verona, 5-1.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *