Rakyat Malaysia, Lupakah Kita Derita Semasa PKP?

KUALA LUMPUR, 27 Julai: Penurunan kes COVID-19 kepada13 kes pada Ahad berbanding 23 kes pada hari sebelumnya, mungkin memberi sedikit kelegaan. 

Namun, kenyataan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagai memberi amaran jika pematuhan prosedur operasi standard (SOP) terus tidak dipeduli, kes boleh meningkat ke tiga digit dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilaksanakan semula.

Kerajaan, katanya tidak mempunyai pilihan selain menguatkuasakan semula PKP bagi membendung penularan wabak berkenaan.

Lupakah kita pada derita sepanjang PKP?. Kita dilarang merentas negeri, anak-anak rantau tidak boleh pulang ke kampung bertemu orang tua, suami isteri berduka lara hidup berjuahan dan hilang kemeriahan menyambut Aidilfitri.

Pahala solat berjemaah di masjid dan surau juga tidak dapat diperoleh, malah upacara keagamaan kaum lain juga tersekat dek kawalan PKP.  Ramai juga yang terkesan dan hilang punca pendapatan.

Petugas barisan hadapan pula bertungkus-lumus siang dan malam mengawal penularan wabak COVID-19 dalam negara.

Selain tindakan rakyat yang mesti meneruskan kawalan kendiri, usaha kerajaan menguatkuasakan semula kuarantin di stesen kuarantin yang ditetapkan, diharap dapat mengawal semula penularan kes yang sebahagian besarnya berpunca daripada kes import individu yang pulang dari luar negara.

Justeru, sebagaimana seruan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, pengembara yang telah pulang ke Malaysia sebelum 24 Julai lalu, yang kini menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah, diminta mematuhi sepenuhnya syarat yang ditetapkan.

Bertindas lebih tegas, Ismail Sabri pula memberi amaran kepada individu yang belum menjalani ujian saringan kedua pada hari ke-13 kuarantin di rumah, akan ditahan dan didakwa mulai hari ini.

Malah, kerajaan juga akan mula mewajibkan pemakaian pelitup separuh muka di dalam pengangkutan awam serta tempat sesak mulai 1 Ogos ini. Langkah ini diharap akan terus mengekang penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Pada Ahad (26 Julai) 13 kes positif baharu COVID-19 dilaporkan dengan jumlah kematian seramai 124 kes berbanding 23 kes baharu pada Sabtu, iaitu angka tertinggi sejak 16 Jun lepas.

Malaysia pernah mencapai sifar penularan tempatan selama dua hari berturut-turut iaitu pada 8 dan 9 Julai lalu, manakala jumlah kes positif terendah pernah dicatatkan, iaitu dua kes pada 10 Jun. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *