Polis KK Berjaya Berkas Pembuli Jalan ‘Lunchai’

KOTA KINABALU: Seorang ejen tarik kereta yang dirakam membelasah seorang lelaki di Api-Api Centre, di sini, yang menjadi viral di laman sosial, berjaya ditahan polis, semalam.

Lelaki berusia 35 tahun itu ditahan di rumahnya di Taman Sempelang, di sini, jam 11.30 malam oleh sepasukan polis yang melakukan serbuan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, penahanan suspek dilakukan selepas polis menerima laporan polis daripada mangsa kejadian.

Katanya, dalam insiden yang berlaku itu, mangsa mengalami kecederaan di kepala dan badan akibat dipukul oleh suspek.

“Suspek ditahan bersama pakaian dan barangan yang dibawa ketika kejadian itu berlaku.

“Polis turut merampas motosikal yang digunakan dalam kejadian berkenaan,” katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Habibi berkata, siasatan awal juga mendapati suspek mempunyai 16 kes jenayah lampau.

“Suspek juga dikenali sebagai ‘Lunchai’ dan bersikap agresif dan mempunyai rekod jenayah membabitkan dadah, curi dan mendatangkan kecederaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan pada orang lain,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *