Pesara Maut ‘Dilanggar’ Kenderaan Sendiri

Pikap yang terjunam ke gaung dan melanggar serta menghempap pemandu yang sedang memeriksa bahagian depan kenderaan itu di Kuala Penyu, malam tadi.

BEAUFORT: Seorang pesara maut apabila ‘dilanggar’ dan dihempap pikap miliknya ketika memeriksa kenderaan itu di Jalan Kampung Gorowot, Kuala Penyu, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, mangsa berusia 66 tahun yang disyaki mabuk memandu pikap jenis Toyota Hilux seorang diri untuk pulang ke rumahnya di Kampung Kayul, di sini.

Pikap yang terjunam ke gaung dan melanggar serta menghempap pemandu yang sedang memeriksa bahagian depan kenderaan itu di Kuala Penyu, malam tadi.

Mangsa dikatakan mahu memeriksa kerosakan pada bahagian depan kenderaannya selepas pikap dipandunya terbabas ke bahu jalan di sebelah kanan.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abd Razak, berkata ketika memeriksa, kenderaan mangsa tiba-tiba dipercayai meluncur sendiri ke depan dan melanggarnya mangsa sehingga terjunam ke dalam gaung.

Katanya, akibat insiden itu, mangsa mengalami cedera parah di bahagian dalaman badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Kuala Penyu.

“Siasatan awal mendapati, kenderaan mangsa mengalami kerosakan di bahagian depan dan punca kemalangan dipercayai disebabkan oleh kecuaian mangsa sendiri.

“Tiada unsur-unsur khianat atau jenayah dikesan dalam kemalangan ini, namun siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Azmir berkata, mangsa disyaki mabuk dan memandu kenderaannya di bawah pengaruh alkohol yang dipercayai melebihi paras dibenarkan.

Katanya, sampel darah sudah diambil untuk ujian dadah dan alkohol bagi membantu siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *