Persekutuan Jangan Hanya Utamakan Rakyat Semenanjung – Shafie

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengingatkan Kerajaan Persekutuan tentang Artikel 106 Perlembagaan bahawa 40 peratus daripada hasil yang diperoleh dari negeri Sabah dan Sarawak perlu dipulang demi manfaat kedua-dua negeri.

Beliau berkata, mahu atau tidak, perkara tersebut perlu dipatuhi kerana jika tidak akan berlaku krisis Perlembagaan berikutan pengasingan kuasa yang dilakukan Kerajaan Persekutuan.

Tegas beliau, Kerajaan Persekutuan tidak sepatutnya hanya mengutamakan rakyat di Semenanjung atau sesuatu negeri, sebaliknya rakyat Sabah dan Sarawak juga perlu mendapat layanan sewajarnya selaras dengan objektif penubuhan Malaysia.

“Ini merupakan intipati yang telah membolehkan kita membentuk negara Malaysia, bukan bererti bila kita tumpukan tentang kepentingan Sabah, bukan bererti kita parochial tidak, ini merupakan salah satu usaha kita membina negara.

“Bila anda mahu membina negara, sentuh hati semua rakyat Malaysia bukan hanya menyentuh hati rakyat Semenanjung, jangan hanya menyentuh hati rakyat satu negeri sahaja,” katanya ketika perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.

Mohd. Shafie berkata, sebagai contoh, penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) adalah satu pengasingan kuasa antara kerajaan negeri dan Persekutuan sedangkan objektifnya sama iaitu untuk memajukan rakyat.

Tegas beliau, penubuhan MPKKP menunjukkan bagaimana kepentingan rakyat tidak lagi menjadi keutamaan sebaliknya perbezaan ideologi politik mempengaruhi keputusan Putrajaya.

Tambah beliau, penubuhan dua agensi dalam satu kampung itu juga akan menyebabkan berlaku krisis perpaduan antara penduduk kampung.

“Saya bagi contoh Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan selepas itu Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuansudah ada pun di peringkat daerah-daerah peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan diurus oleh MPKKP di peringkat daerah pula ada di situ yang diurus oleh UPPM kerajaan negeri.

“Tetapi saluran kewangan ini matlamatnya membantu rakyat membangunkan negeri tetapi sudah dipisah-pisahkan diasingkan kerana yang penting ideologi politik yang ada fahaman politik bukan rakyat yang jadi keutamaan, yang memerlukan jalan bukan rakyat yang jadi sasaran kita untuk bekalan elektrik ini bukan menjadi pengukuran kita, bukan menjadi pertimbangan kita,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *