Penjual Sayur Diikat Sebelum Disamun

Gambar Hiasan

SANDAKAN: Bukan saja dicekik dan dipijak, seorang peniaga sayur juga mengalami kerugian apabila keretanya turut dilarikan dalam kejadian samun di Batu 25, dekat sini, pagi semalam.

Ketika kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, wanita berusia 56 tahun itu dikatakan sedang bersiap di rumahnya untuk berniaga di pasar Gum-Gum, Batu 16, sebelum didatangi dua suspek dengan seorang daripadanya menunggu di bawah rumah.

Mangsa dikatakan dicekik dan dipijak, sebelum mata serta mulut ditutup, manakala tangannya diikat menggunakan kain.

Mangsa bagaimanapun berjaya membuka ikatan sebelum melarikan diri ke rumah jiran yang terletak kira-kira 600 meter dari rumahnya.

Selain kereta jenis Perodua Bezza berwarna putih, turut dipercayai dilarikan adalah beg tangan mangsa yang berisi wang berjumlah RM200, kad pengenalan dan dua telefon bimbit.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berkata wanita terbabit membuat laporan polis pada pukul 10.30 pagi semalam.

Katanya, mangsa turut mendakwa pada kira-kira pukul 11 pagi hari sebelum disamun, dua suspek terbabit dilihat duduk di beranda rumahnya ketika mangsa baru pulang dari berniaga.

“Mangsa mendakwa kedua-dua suspek beri alasan berehat kerana motosikal rosak, sebelum beredar.

“Polis kini giat mengesan suspek berdasarkan maklumat diberikan mangsa,” katanya di sini, hari ini.

Kes disiasat mengikut Swksyen 359/ 397A Kanun Keseksaan.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *