Inisiatif MCS Bantu Penduduk Luar Bandar, Pedalaman Sabah

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) yang juga Ahli Parlimen Pensiangan, Arthur Joseph Kurup.

NABAWAN: Penduduk luar bandar dan pedalaman di negeri ini yang tidak memiliki akaun bank, kini boleh membuat urusan perbankan melalui program Mobile Community Services (MCS).

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) yang juga Ahli Parlimen Pensiangan, Arthur Joseph Kurup, berkata inisiatif berkenaan dilaksanakan Kementerian Kewangan menerusi Perbendaharaan Malaysia Sabah (PMS).

“Ini membuktikan kerajaan berusaha memberikan yang terbaik dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah.

“Saya tahu 912 penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) di kawasan Parlimen Pensiangan tidak mempunyai akaun bank.

“Ia merangkumi mukim Nabawan, Sapulut, Pamuntarian, Pagalungan, Pensiangan, Tatalaan dan Sook.

“Oleh itu, kita menyelaras perkara ini terus dengan Kementerian Kewangan supaya pejabat saya sendiri terbabit bagi memastikan penduduk di kawasan Parlimen Pensiangan menerima bantuan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan BSH/BPN Pedalaman Sabah 2020 Bagi Mukim Nabawan, Sapulut dan Pamuntarian Menerusi Program MCS, di sini, semalam.

Majlis itu membolehkan seramai 517 penerima yang tidak mempunyai akaun bank, menerima pembayaran bantuan dengan nilai terkumpul sebanyak RM1.1 juta.

Arthur berkata, program sama bakal diteruskan di kawasan lain dalam Parlimen Pensiangan, iaitu Mukim Pagalungan, Mukim Pensiangan dan Mukim Tatalaan.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *