Harga Emas Berpotensi Cecah RM300 Segram Beberapa Bulan Akan Datang

Pengurus Besar Operasi, Mohd Zaruddin Mahmud di Habib Jewels Ampang. – Foto Amirudin Sahib

KUALA LUMPUR: Harga emas, yang meningkat lebih 60 peratus dalam tempoh dua tahun sejak Julai 2018 hingga Julai 2020 dijangka terus naik sehingga akhir tahun ini.

Pengurus Besar Habib Jewels Sdn Bhd, Mohd Zaruddin Mahmud, berkata harga emas pukal atau harga spot emas dijangka mencecah AS$2,000 seaun atau lebih RM300 segram dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Selain itu, permintaan runcit untuk membeli barangan kemas atau emas perhiasan juga meningkat susulan lebihan tunai pengguna yang meraih manfaat daripada moratorium bayaran balik pinjaman yang diberi kerajaan susulan kesan penularan COVID-19.

Beliau berkata, baru-baru ini harga emas pukal berada pada paras lebih RM260 segram dan ia adalah paras tertinggi pernah dicatatkan sejak 2011.

Katanya, aliran menaik yang drastik pada tahun ini disebabkan beberapa faktor seperti perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China serta kelembapan pasaran disebabkan pandemik COVID-19.

“Emas adalah antara sektor yang mencatatkan prestasi kukuh walaupun sektor komoditi lain berhadapan dengan penurunan ketara seperti minyak mentah selain pasaran saham.

“Di Malaysia juga, emas antara sektor kukuh. Harga harga barangan kemas meningkat dengan ketara dan tidak mustahil ia juga akan mencecah RM300 segram dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

“Malah, permintaan terhadap emas juga meningkat. Melalui tinjauan kami, walaupun isi rumah menghadapi tekanan kewangan akibat COVID-19, tetapi masih terdapat lebihan wang tunai di tangan.

“Pemberian moratorium serta bantuan kerajaan dalam pemulihan ekonomi, memberikan mereka peluang untuk membeli emas, sekali gus menjadikannya sebagai satu medium pelaburan,” katanya kepada BH.

Mohd Zaruddin berkata, dalam situasi sukar yang tidak pernah dihadapi ketika ini, pelaburan emas mampu memberikan pulangan serta jaminan berbanding pelaburan konvensional yang lain.

Beliau berkata, walaupun pelaburan emas belum menjadi pilihan utama dikalangan rakyat negara ini, berdasarkan data, emas tidak pernah mencatatkan penurunan yang ketara.

Katanya, walaupun emas mencatatkan penurunan, ia akan kembali meningkat dalam tempoh yang singkat, berbanding pelaburan dan pasaran lain.

“Emas adalah pelaburan jangka panjang, medium yang sesuai digunakan untuk pelaburan bagi isi rumah. Pelabur kini juga semakin beralih kepada emas,” katanya.

Mengulas lanjut, ketika ditanya mengenai prestasi Habib Jewels, Mohd Zaruddin berkata, walaupun terpaksa menutup semua rangkaian operasinya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), prestasi jualan syarikat masih menunjukkan peningkatan sejak Mei lalu.

Beliau berkata, lebihan tunai, bantuan kerajaan serta peningkatan harga emas menjadi faktor peningkatan pembelian emas dalam tempoh tiga bulan ini.

“Kami yakin mampu mencapai sasaran jualan menjelang akhir tahun ini. Trend pembelian juga meningkat pasca PKP.

“Data kami menunjukkan 60 peratus pelanggan membuat transaksi tukar beli manakala 21 peratus penjualan semula emas.

“Walau bagaimanapun, trend pembelian ini dijangka akan kembali mendatar pasa suku keempat ini disebabkan berakhirnya moratorium dan bantuan kewangan kerajaan,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *