Adun Lahad Datu Dakwa Ditawar RM5 Juta Untuk Lompat Parti

Dumi Pg Masdal

LAHAD DATU: Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dumi Pg Masdal (gambar) mendakwa beliau telah menerima tawaran RM5 juta daripada tiga individu untuk melompat parti.

Dumi, yang juga wakil rakyat kawasan Lahad Datu, berkata tawaran tersebut turut diiringi dengan pengekalan jawatan beliau sebagai Pembantu Menteri dan pencalonan sebagai wakil rakyat pada pilihan raya akan datang.

Bagaimanapun, menurut Dumi, beliau menolak tawaran itu kerana mahu terus kekal bersama Parti Warisan Sabah.

“Tiga individu berkenaan yang mewakili pihak tertentu datang berjumpa saya di kediaman saya, di sebuah kelab dan sebuah restoran di daerah ini sejak pertengahan Jun lalu.

“Saya turut dihubungi seorang lagi individu yang menawarkan RM20 juta untuk berbuat demikian.

Saya turut diberitahu bahawa ramai yang telah lompat dan saya mesti mengambil peluang tersebut.

“Namun begitu, saya beritahu mereka untuk apa (saya perlu) melompat parti sedangkan kedudukan kerajaan negeri tidak tergugat,” kata beliau.

Menurut Dumi, berkata walaupun masih baru dalam politik, beliau mempunyai maruah dan tidak akan mengkhianati mandat rakyat.

“Saya adalah bekas anggota keselamatan, setia kepada ketua telah sebati dalam diri saya dan kesetiaan ini tidak boleh dinilai dengan wang.

“Saya juga mempunyai pendirian dan akan terus memilih Warisan di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai wadah perjuangan saya,” tegasnya. – Harian Ekspres

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *