Keterbukaan WARISAN Tarik 750 Lagi Ahli Baharu

PENSIANGAN: Keikhlasan dan keterbukaan Parti Warisan Sabah (Warisan) bekerja untuk rakyat berjaya menarik lagi 750 orang ahli baharu menyertai parti itu, hari ini.

Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony berkata, penerimaan penduduk di Pensiangan ini terhadap Warisan jelas membuktikan penerimaan mereka terhadap cara kerja kerajaan pimpinan Warisan di negeri ini.

Katanya, melihat gerak kerja dan janji yang ditunaikan serta keterbukaan Ketua Menteri dalam mendengar masalah rakyat telah menarik hati lebih ramai penyokong di peringkat akar umbi.

“Itu yang membuatkan orang jatuh hati untuk menyertai Warisan. Jadi, kita akan terus bekerja dan membawa pembangunan di kawasan Pensiangan ini,” katanya semasa Majlis Penyerahan Borang Keahlian kepada Warisan, di Sook, hari ini.

Mengenai usaha mengeluarkan kawasan hutan simpan, Menteri Pembangunan Infrastruktur ini berkata, pihaknya sedang menyedia dokumen bagi mendapatkan kelulusan memanfaatkan kawasan itu bagi pembinaan jalan Sapulut-Pensiangan.

Peter berkata, kawasan sepanjang 16km yang termasuk dalam kawasan diwartakan itu tidak mempunyai kayu, malah binatang juga tiada di situ.

“Maka, kita akan sediakan dokumen di peringkat kementerian sebelum isu ini dibawa ke Kabinet negeri dan sidang Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN) untuk kelulusan.

“Apabila ianya dikeluarkan, ia boleh digunakan oleh Kementerian Kerja Raya bagi menaiktaraf jalan raya Sapulut-Pensiangan ini,” ujarnya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *