Bertumbuk Kerana Enggan Pakai Pelitup Muka

Foto Agensi

Dua beradik di California berdepan tuduhan jenayah selepas bergaduh dengan pengawal keselamatan pusat beli-belah hanya kerana enggan memakai pelitup muka.

Kejadian mengakibatkan pengawal itu patah tangan.

Phillip dan Paul Hamilton, masing-masing berusia 31 dan 29 tahun, didakwa bergaduh dengan pengawal keselamatan pusat beli-belah di Van Nuys, yang terletak kira-kira 30 meter dari Los Angeles, selepas mereka dikesan tidak memakai pelitup muka.

Ketika sedang diiringi keluar, kedua-dua beradik itu menumbuk satu daripada empat pengawal berkenaan lalu pergaduhan bermula menyebabkan seorang daripadanya patah tangan.

“Tidak memakai pelitup muka adalah perbuatan mementingkan diri, salah dan dilarang.

“Kami tidak akan berkompromi dengan keganasan dalam usaha memastikan pelanggan setiap kedai memakai pelitup itu.

“Kita kini mempunyai hanya satu musuh yang sama iaitu virus, bukan sesama sendiri,” kata Peguam Bandar Los Angeles, Mike Feuer.

Insiden yang berlaku pada Mei lalu dan dirakam video itu adalah kekecohan terbaharu di Amerika Syarikat ekoran perdebatan mengenai pemakaian pelitup muka yang kini menjadi isu politik.

Dua beradik itu kini didakwa dengan pelbagai dakwaan keganasan dan pencerobohan serta berdepan hukuman setahun penjara jika disabitkan bersalah.- Agensi

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *