Anwar Sokong Kerajaan Sabah & Akan Bertemu Shafie

KOTA KINABALU: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berikrar untuk memberikan sokongan kepada kerajaan Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Anwar, yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, beliau akan bertemu dengan Shafie dalam masa terdekat ini.

Kerajaan Sabah dikhabarkan berdepan dengan cubaan terancang untuk menjatuhkan pemerintahan Shafie.

“Bagi kami dalam Pakatan Harapan (PH) plus, pendirian kami adalah beliau (Shafie) mempunyai mandat itu dan kami akan terus memberi sokongan kepada beliau,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Konvensyen Penerangan Keadilan, di sini.

Anwar berkata demikian ketika menjawab pertanyaan pemberita adakah PH akan menyokong Shafie di Sabah.

Sebelum ini, Shafie dilaporkan sebagai pemimpin parti yang tidak memberikan sokongan kepada pemilihan Anwar sebagai Perdana Menteri bagi PH Plus.

Shafie turut dicalonkan untuk jawatan yang sama oleh bekas Perdana Menteri (PM) Tun Dr Mahathir Mohamad selepas Anwar dan PKR menolak kempen untuk melantiknya semula sebagai PM.

Pencalonan Shafie itu menyebabkan berlaku dilema dalam PKR Sabah apabila Pengerusinya, Datuk Christina Liew pada mulanya berkata, beliau mempunyai kewajipan untuk menyokong Shafie kerana beliau rakyat Sabah dan bukan menyokong Anwar.

Bagaimanapun, tidak lama kemudian, PKR Sabah dan Sarawak mengisytiharkan sokongan terhadap Anwar. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *