Kerajaan Sabah Masih Kukuh Dengan Dua Pertiga Majoriti

KOTA KINABALU: Di sebalik khabar angin yang mengatakan Kerajaan Sabah akan tumbang, hakikatnya Kabinet negeri masih kukuh dengan dua pertiga majoriti.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, kerajaan hari ini mempunyai lebih dua pertiga majoriti daripada bilangan kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) justeru khabar angin tersebut tidak berasas.

“Kami masih lagi kerajaan yang memerintah hari ini dan kita mempunyai majoriti lebih dua pertiga. Jadi jangan dengar dakwaan sebegini. Cerita ini sudah lama, sejak mereka mengambil alih kerajaan lagi mereka katakan kerajaan Sabah akan berubah.

“Malah, semasa hari raya baru-baru ini pun dikatakan akan berlaku perubahan dalam kerajaan Sabah. Tapi saya yakin Sabah bukan macam negeri-negeri lain,” katanya ketika mengulas mengenai khabar angin akan berlaku perubahan pentadbiran di peringkat negeri Sabah.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Watikah kepada Peguam Besar Sabah yang baharu, Brenndon Keith Soh.

Mohd Shafie berkata, amalan menggangu-gugat kestabilan negara dan negeri Sabah bukan satu amalan yang baik.

Beliau memberi jaminan kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) akan meneruskan tanggungjawab mentadbir negeri dan menjaga kebajikan rakyat dengan sebaiknya.

Biarpun ada pihak luar yang cuba menggugat kestabilan negeri namun, beliau meminta rakyat agar tidak mendengar khabar angin sebegitu kerana kerajaan masih lagi kukuh dan Kabinet Negeri juga berjalan seperti biasa.

“Saya beri jaminan semua okay dan kami masih berfungsi sebagai Kabinet Negeri dan kerajaan memerintah hari ini.Biarpun apa orang cakap.

“Malah, saya baru melawat TYT dan ini adalah lawatan biasa sebagai Ketua Menteri untuk melaporkan perkembangan pembangunan di Sabah dan setiap minggu kita akan berjumpa TYT untuk memaklumkan perjalanan pentadbiran negeri,” jelasnya.

Kerajaan Sabah masih memiliki 45 kerusi termasuk ADUN dilantik manakala, blok pembangkang mempunyai 20 kerusi termasuk seorang ADUN dilantik.

Ketika ini, DUN Sabah mempunyai 65 kerusi termasuk lima kerusi ADUN dilantik.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *