FINAS Tidak Pernah Arah Pengguna Media Sosial Mohon Lesen Penggambaran

Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Ahmad Idham Ahmad Nadzri, menjelaskan tiada arahan dikeluarkan kepada pengguna platform media sosial seperti YouTube, Instagram dan TikTok untuk memohon Lesen Pengeluaran Filem dan Surat Perakuan Penggambaran (SPP) seperti yang tular, semalam.

Idham berkata, sebagai badan yang bertanggungjawab membantu meningkatkan pembangunan industri perfileman dan kandungan digital, tugas FINAS lebih kepada menggalakkan penghasilan lebih banyak idea kreatif, bukannya menyekat kreativiti pengguna media sosial.

“Berita yang tular itu tidak benar. Saya harap pihak berkenaan bersabar dan jangan panik. Kalau betul FINAS mahu keluarkan syarat sedemikian, sudah lama kami laksanakan.

“Tapi, sebaliknya, kita beri geran mikro kepada golongan terbabit menghasilkan lebih banyak isi kandungan untuk pelantar media sosial… Takkanlah kita hendak buat begitu,” katanya kepada HIP.

Idham mendakwa ada pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap isu terbabit dengan memutarbelitkan kenyataan dikeluarkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah di Dewan Rakyat, semalam.

“Saya percaya ada pihak tidak bertanggungjawab yang cuba memutarbelitkan kenyataan itu atas kapasiti lain, bukan untuk industri kreatif.

“Menteri sudah mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai isu terbabit dan kita tunggu maklum balas mengenainya.

“Saya hanya akan mengeluarkan kenyataan rasmi esok (Jumaat) dan penjelasannya lebih kepada soal teknikal,” katanya.

Sebaik berita tersebar, golongan ‘social influencer’ atau personaliti media sosial keliru mengenai syarat yang dikatakan mewajibkan mereka memohon Lesen Pengeluaran Filem dan SSP seperti yang tular, semalam.

Sementara itu, personaliti media sosial, Alieff Irfan yang mempunyai 1.3 juta pengikut IG, terkejut dengan syarat lesen filem dan SPP itu sehingga terfikir mengenai kariernya sebagai ‘YouTuber’ dan pembekal kandungan, sebaik menyedari berita yang tular, semalam.

“Mula-mula dengar (syarat lesen filem) macam pelik. Saya jadi takut kerana ia membabitkan kerjaya sebagai YouTuber.

“Saya cuba mendapatkan kepastian daripada teman yang bekerja dalam industri perfileman.

“Selepas itu, saya mula jelas dengan apa yang dibangkitkan termasuk individu yang mahu mendapatkan lesen filem perlu mempunyai modal berbayar RM50,000,” katanya.

Alieff yang bercita-cita menjadi pengarah filem, mengerti kepentingan memohon lesen bagi menghasilkan karya besar seperti filem. Malah, Alieff sedang berusaha untuk memiliki studio produksi selepas banyak menghasilkan filem dan drama pendek.

“Cuma, apabila membuat video IG dan TikTok kita perlu mendapatkan lesen, saya tertanya-tanya kenapa sampai tahap itu.

“Bayangkanlah, anak muda yang baru berjinak-jinak dalam dunia media sosial, di mana mereka mahu mendapatkan RM50,000 sebagai modal?” katanya.

Alieff atau nama sebenarnya, Muhd Aliff Irfan Aziki berkata, syarat pelesenan filem dan SPP dikhuatiri menyekat anak muda menjadi kreatif dan inovatif.

“Kalau sekadar ratusan ringgit sebagai modal tidaklah membebankan, ini sampai puluhan ribu ringgit,” katanya.

Sementara itu, Faiz Dickie yang memiliki lebih 570,000 pengikut IG mengaku ‘kabur’ dengan syarat pelesenan itu biarpun tidak menolak kebaikan dan keburukan pelaksanaannya.

Faiz atau nama penuh, Mohd Nasrul Faiz Abu Azal, berkata sebaik mendapat tahu mengenai syarat pelesenan filem dan SPP, dirinya ‘berbelah-bahagi’.

“Perkara ini ada kebaikan dan keburukannya. Daripada sudut kebaikan, andai kandungan membabitkan nama dan maruah negara, syarat pelesenan filem dianggap baik.

“Sedikit sebanyak kita dapat menapis apa yang dimuatkan dalam media sosial.

“Namun, di sebaliknya, perkara ini sedikit menyusahkan terutama bagi mereka yang menjadikan proses pembuatan video sebagai salah satu cara menjana pendapatan kecil-kecilan,” katanya.

Faiz berkata, proses menghasilkan klip video atau kandungan mengambil masa.

“Apabila kita diwajibkan meminta lesen dan kebenaran daripada FINAS, proses ini mengambil masa yang sangat lama.

“Sedikit sebanyak, ia menyusahkan kami sebagai ‘influencer’ dan pengguna media sosial yang menjadikan platform digital sebagai punca pendapatan,” katanya.

Faiz mencadangkan, daripada mewajibkan permohonan lesen filem bagi tujuan komersial atau peribadi melalui YouTube, IG dan TikTok, adalah lebih baik kerajaan mewajibkan permohonan pelepasan yang berpandukan kepada kandungan dihasilkan.

“Kalau mereka buat video atau reviu secara suka-suka, seperti ulasan di hotel penginapan ketika bercuti, takkanlah perkara itu memerlukan lesen?

“Namun, jika kandungan dibuat untuk tujuan komersial atau membabitkan topik yang agak sensitif seperti menyentuh negara, kaum dan agama, barulah diwajibkan memohon lesen,” katanya.

Faiz berkata, syarat pelesenan filem dianggap suatu idea yang baik, namun sukar dilaksanakan.

“Perkara ini sangat sukar dipraktikkan atas faktor lambakan video yang ada sekarang. Jadi, kerajaan perlu meneliti lebih mendalam mengenai pelaksanaan peraturan ini,” katanya.

INFO

• Pada sidang Dewan Rakyat semalam, Saifuddin dilaporkan berkata, penerbit filem wajib memohon Lesen Pengeluaran Filem dan Surat Perakuan Penggambaran (SPP), sama ada mereka adalah agensi media arus perdana atau media individu (personal media) yang menerbitkan filem di platform media sosial atau saluran tradisi.

• Pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, Saifuddin menjelaskan, kementerian melalui FINAS mengeluarkan tiga jenis lesen kepada industri perfileman iaitu Lesen Pengeluaran Filem/Video, Lesen Pengedaran Filem/Video dan Lesen Pemameran Filem/Video. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *