Semuanya Baik, Tiada ADUN Berpaling Tadah, Kata WARISAN

Setiausaha Agung Warisan, Loretto Padua.

KOTA KINABALU: Seorang pemimpin Warisan menolak khabar angin mendakwa kerajaan Sabah akan tumbang kerana tiada Adun yang menyokong gabungan negeri itu yang berpaling tadah.

“Semuanya baik-baik saja, tiada apa yang berlaku,” kata Setiausaha Agung Warisan, Loretto Padua hari ini susulan laporan semalam sejumlah Adun yang menyokong gabungan pimpinan Warisan akan bertukar kem.

“Mengenai pertukaran kem ini, sebenarnya rakyat muak dengannya. Tetapi, apa yang kami nak tahu ialah apa yang berlaku kepada laporan polis dibuat Adun Kuamut, Masiung Banah (daripada Warisan) mengenai misteri kemunculan beberapa kereta di luar rumahnya bulan lalu.

“Dan baru-baru ini, Adun Moyog, Jenifer Lasimbang (Warisan) dan kakaknya Jannie (DAP-Kapayan) juga mendakwa didatangi orang, yang dilihat cuba memujuk mereka berpaling tadah.

“Jika laporan dibuat mengenainya, saya harap pihak berkuasa akan menelitinya secara serius.”

Masiung mendakwa terdapat beberapa kenderaan di luar pangsapurinya di sini pada 22 Jun lalu dan beliau tidak tahu kenapa mereka berkumpul di sana.

Spekulasi timbul yang ia ada kaitan dengan Masiung ditekan untuk keluar daripada Warisan, yang disertainya selepas meninggalkan Upko pada 2018.

Sementara itu, sebuah portal berita tempatan hari ini melaporkan 2 beradik Lasimbang itu dipercayai didatangi ejen politik dan mendakwa mereka ditawarkan wang serta jawatan untuk meninggalkan gabungan parti pemerintah itu.

Padua berkata, jika ia benar, ini bukan caranya yang orang Sabah dan Malaysia mahukan.

“Mungkin bagi mereka, kemewahan itu tiada makna, tetapi lebih baik ia dibelanjakan ke atas rakyat yang benar-benar menghadapi kesulitan dalam hidup.”

Sumber mendakwa parti pembangkang di negeri itu hampir mendapat majoriti mudah susulan dakwaan perjanjian dengan beberapa wakil rakyat untuk berpihak kepadanya.

Parti pembangkang di Sabah yang terdiri daripada Umno, PPBM, STAR dan PBS mempunyai 20 Adun, termasuk 3 wakil rakyat bebas, dengan seorang daripadanya Adun dilantik.

Ia memerlukan 13 lagi kerusi untuk mencapai majoriti mudah dalam Dewan Undangan Negeri yang mempunyai 65 kerusi bagi menggulingkan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Shafie Apdal yang terdiri daripada Warisan, Upko, DAP dan PKR.

Gabungan parti pemerintah mempunyai 45 kerusi, termasuk 33 kerusi yang dimenangi Warisan, DAP (7), Upko (3) dan PKR (2). Jika 13 Adun melompat parti, ia berbaki 32 kerusi – kekurangan satu kerusi berbanding pembangkang.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *