Polis Akan Pantau Penjarakan Sosial Di Restoran & Warung

Premis tidak patuhi penjarakan sosial akan ditutup, orang ramai dikompaun. 

KUALA LUMPUR: Polis dan pasukan petugas khas pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akan memantau dan membuat pemeriksaan lebih kerap di restoran serta warung bagi memastikan penjarakan sosial dipatuhi.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub, berkata ketika ini didapati kebanyakan restoran tidak mematuhi SOP penjarakan sosial dan ramai yang berhimpit-himpit seolah-olah PKPP sudah berakhir.

Langkah itu berikutan sudah ada kes jangkitan COVID-19 membabitkan premis makanan seperti kluster restoran di Brickfields.

“Peniaga dan pengunjung yang didapati gagal mematuhi SOP penjarakan sosial di restoran akan dikenakan denda dan kompaun seperti yang ditetapkan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau dikenali juga Akta 342.

“Mengikut akta itu sesiapa yang disabitkan kesalahan di bawah undang-undang ini akan didenda tidak lebih RM1,000 atau dipenjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, sebelum ini kerajaan memberikan kelonggaran kepada orang ramai berkunjung ke restoran dengan SOP penjarakan sosial.

Namun, katanya ramai yang tidak patuh SOP, mengabaikan aspek penjarakan sosial dengan berhimpit-himpit.

“Jika dulu satu meja hanya untuk dua orang kita longgarkan boleh empat orang satu meja. Namun, orang ramai seakan lupa, mulai duduk berhimpit-himpit dan bersesak-sesak serta tidak ikut saiz restoran.

“Selepas pemantauan ini, polis dan pasukan petugas khas akan mengambil tindakan tegas dan mana-mana pengusaha tidak patuhi penjarakan sosial akan ditutup dan orang ramai boleh dikompaun, tiada lagi amaran atau nasihat,” katanya.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *