‘Jangan Kacau Kami Lagi’

Keberanian Qamar Gul, remaja Afghanistan yang menembak mati pejuang Taliban membunuh ibu bapanya mendapat perhatian pelbagai pihak. – Foto Google

GHAZNI: Remaja perempuan Afghanistan yang menembak mati pejuang Taliban yang membunuh ibu bapanya sedia lawan sesiapa yang cuba menyerangnya dengan adik lelakinya.

Qamar Gul, yang menembak mati dua pejuang Taliban yang memecah masuk rumahnya dan membunuh ibu bapanya yang didakwa menyokong kerajaan, minggu lalu di sebuah perkampungan di daerah Taywara, wilayah tengah Ghor.

“Saya tidak takut dan sedia berlawan dengan mereka semula. Bapa yang mengajar saya menembak menggunakan senjata AK-47.

“Saya membunuh mereka kerana mereka bunuh keluarga saya dan pasti mereka cari saya dan adik lelaki saya untuk balas dendam.

“Saya sedih tidak dapat mengucapkan selamat tinggal kepada ibu bapa saya…selepas bunuh mereka dan saya cuba selamatkan ibu bapa saya tetapi mereka sudah tidak bernyawa,” katanya kepada AFP menerusi perbualan telefon dari rumah saudaranya.

Pelbagai pihak di Afghanistan memuji keberanian Gul dan gambar beliau memakai hijab sambil memegang senjata AK-47 tular di semua platform media sosial.

Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani juga memuji remaja perempuan itu kerana mempertahankan keluarga melawan musuh yang kejam, menurut jurucakapnya, Sediq Sediqqi kepada AFP.

Malah, ada juga yang meminta kerajaan segera melindungi Gul dan adik lelakinya.

“Kita minta Presiden membantu memindahkan remaja ini serta adik lelakinya kepada tempat selamat demi keselamatan mereka,” kata bekas peguam dan aktivis hak wanita, Fawzia Koofi dalam Facebooknya.

Dalam kejadian minggu lalu, kumpulan pemberontak itu menyerbu kediaman remaja terbabit, mencari ayahnya yang juga ketua kampung kerana dikatakan seorang penyokong kerajaan.

Pejuang Taliban pergi ke rumahnya dan mengheretnya keluar dan membunuh kedua-duanya di luar rumah mereka.

Gul pula berada dalam rumah, lalu mengambil senjata AK-47 milik keluarganya dan terus menembak mati dua pejuang Taliban yang membunuh ibu bapanya sebelum mencederakan beberapa yang lain.

Beberapa pejuang Taliban berkenaan kemudian kembali menyerang rumahnya, namun diusir penduduk kampung dan penyokong prokerajaan selepas berbalas tembakan.

Pasukan keselamatan Afghanistan sudah membawa Gul dan adiknya ke tempat lebih selamat. – AFP

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *