Isteri, Anak Anggota Jabatan Penjara Negatif Covid-19

Dr G Navindran

TAWAU: Isteri dan anak anggota Jabatan Penjara, mangsa terbaharu Covid-19, Selasa lalu, disahkan negatif dari penyakit berkenaan.

Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau Dr G Navindran berkata, sebaik mangsa disahkan positif Covid-19, awal minggu ini, pihaknya segera melakukan ujian saringan kesihatan yang sama ke atas keluarga penjawat awam berkenaan terutamanya isteri dan anaknya.

“Mangsa kini dirawat di wad manakala keluarga beliau dikuarantin di rumah.

“Selain itu, kami turut melakukan ujian saringan yang sama ke atas semua penjaja dan pekerja di Pasar Sri Tanjung, hari ini, selepas mangsa mengaku berkunjung ke sana termasuk beberapa tempat sebelum disahkan positif Covid-19,” katanya kepada media, hari ini.

Tambah Navindran, pihaknya turut melakukan ujian yang sama ke atas 500 pegawai dan anggota Jabatan Penjara selain banduan bagi mengesan sebarang jangkitan daripada mangsa.

“Selain itu, saya menafikan beberapa mesej yang tular di laman sosial mengenai gesaan terhadap ibu bapa untuk tidak menghantar anak ke sekolah ekoran bimbang jangkitan Covid-19 daripada anak anggota Jabatan Penjara berkenaan.

“Saya nasihatkan, jangan sekat anak ke sekolah  kerana premis itu mempunyai prosedur operasi standart (SOP) yang baik dalam menangani penularan Covid-19,” katanya.

Tambah Navindran, SOP sama perlu sentiasa dipraktikkan termasuk penjarakan sosial dalam bas sekolah dan dalam kalangan ibu bapa atau penjaga ketika menunggu pelajar di luar pagar.

“Selagi orang ramai mengamalkan SOP yang betul termasuk, pemakaian pelitup muka, cecair sanitasi, penjarakan sosial dan kerap membasuh tangan, ia akan membantu mengurangkan risiko jangkitan,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *