Polis Tembak Tayar Halang Penjenayah Lolos

Lokasi kedua-dua suspek cuba melarikan diri di SICC dan kenderaan yang dinaiki yang ditembak anggota polis.

KOTA KINABALU: Dua penjenayah kes komersial yang dikehendaki nekad merempuh polis sebelum cuba melarikan diri dalam kejadian di tempat letak kereta bangunan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, semalam.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, kedua-dua suspek berusia 60 dan 38 tahun terbabit berjaya ditahan selepas polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke tayar kereta yang dinaiki suspek.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, kejadian bermula di Jalan Gaya, di sini, apabila kedua-dua suspek cuba ditahan.

Katanya, menyedari kehadiran polis, suspek terus mengundurkan kenderaan Honda Jazz yang dipandu sehingga merempuh anggota polis yang menaiki motosikal.

“Suspek terus meninggalkan tempat kejadian dan terpaksa dikejar anggota polis sehingga ke SICC namun kenderaan mereka terlanggar dinding di tempat letak kereta di bangunan SICC.

“Polis yang mengejar cuba menahan suspek namun mereka sekali lagi mengundurkan kenderaan dengan laju untuk merempuh anggota polis,” katanya ketika ditemui selepas membuat lawatan ke Sekolah Kebangsaan Sri Gaya, di sini, hari ini.

Habibi berkata, anggota polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar untuk mempertahankan diri.

Katanya, kedua-dua suspek kemudian keluar daripada kenderaan dan terus melarikan diri ke arah bertentangan.

“Hasil kecekapan anggota polis, kedua-dua suspek berjaya ditahan sejurus selepas itu,” katanya.

Sementara itu, Habibi berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek masing-masing mempunyai 15 dan 19 kes atas jenayah tipu, pecah rumah, curi kenderaan dan dadah.

Katanya, kedua-dua suspek hari ini dirujuk ke Mahkamah untuk permohonan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 307 akta sama atas kesalahan cuba bunuh.

“Dalam kejadian ini, seorang anggota polis cedera dan dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan pesakit luar,” katanya.- AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *