Polis Buru Dua Lelaki Samun, Cederakan Wanita Mengandung

Lokasi mangsa disamun dua lelaki.

LABUAN: Polis yang sedang memburu dua lelaki terlibat samun dan mencederakan wanita mengandung meminta orang ramai yang memiliki maklumat agar tampil memberikan keterangan.

Ketua Polis Daerah WP Labuan Supt Muhamad Farid Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada Selasa jam 11.15 pagi.

“Pihak polis menerima laporan mengenai kejadian samun melibatkan seorang wanita ketika sedang memasuki tandas di luar sebuah restoran,” katanya.

Lokasi mangsa disamun dua lelaki.

Farid menjelaskan kejadian itu disedari pekerja lalu membantu menghantar mangsa ke hospital untuk tujuan rawatan.

Dalam kejadian itu katanya, wanita tempatan berumur 33 tahun yang sedang mengandung lima bulan ditolak salah seorang dari dua lelaki yang tidak dikenali menyebabkan kepala mangsa terhantuk ke dinding tandas lalu terjatuh ke lantai. 

“Wang tunai RM4,000 dalam dompet disamun, seutas rantai leher yang dipakai mangsa diragut dan dua suspek berjaya melarikan diri,” katanya.

Farid menjelaskan jumlah kerugian mangsa dianggarkan lebih kurang RM5,500.

Menurutnya, akibat kejadian itu mangsa mengalami kecederaan lebam di bahagian tangan kiri dan kesan calar di bahagian leher serta kesakitan di kepala akibat terhantuk.

Katanya, mangsa dipercayai telah diekori oleh suspek setelah mengeluarkan wang di mesin ATM sebuah bank. 

“Mangsa kini masih ditahan di hospital Labuan untuk tujuan pemeriksaan lanjut dan keadaan mangsa pada ketika ini stabil,” katanya.

Polis menasihatkan orang ramai yang melakukan pengeluaran wang di pusat-pusat kewangan agar sentiasa berhati-hati dengan keadaan sekeliling dan memerhatikan sebarang kelakuan orang yang mencurigakan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu boleh tampil memberikan keterangan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Labuan.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *