Dua Warga Pakistan Didakwa Beri Suapan RM7,000 Kepada Polis

Dua warga Pakistan didakwa memberi suapan di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Dua lelaki warga Pakistan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memberi suapan sebanyak RM7,000 kepada penjawat awam di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, hari ini.

Tertuduh, Zia Ullah Mir Akbar Khan, 29, dan Farman Ali Muhammad Hakim, 35, membuat pengakuan itu selepas dibacakan pertuduhan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Menurut pertuduhan, kedua-dua tertuduh melakukan kesalahan itu pada 20 April lalu antara jam 3.30 petang hingga 5 petang di dalam sebuah kereta pasukan polis di Penampang.

Kedua-dua mereka dengan niat bersama memberikan suapan bernilai RM7,000 kepada seorang ejen Kerajaan Malaysia iaitu pegawai kanan polis Deputi Superintendan Parum AK Niot sebagai dorongan bagi tidak melakukan perbuatan yang berhubungan dengan hal ehwal prinsipalnya iaitu tidak menangkap tertuduh atas kesalahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta membawa rokok tidak bercukai.

Sehubungan itu, kedua-dua tertuduh telah melakukan kesalahan dibawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum dibawah Seksyen 24(1) akta yang sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Abu Bakar membenarkan kedua-dua tertuduh dijamin sebanyak RM20,000 dengan deposit RM10,000 setiap seorang bersama dua penjamin tempatan.

Tertuduh juga diarah melaporkan diri ke Pejabat SPRM setiap dua bulan sekali selain pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Micheal Joimin manakala tertuduh diwakili peguam, Cheow Ze Hao.

Terdahulu, mahkamah menetapkan 1 September sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *