Remaja Tembak Mati Tentera Taliban Yang Bunuh Ibu Bapanya

Qamar Gul bertindak berani menembak tentera Taliban. AFP

Ghazni, Afghanistan: Seorang remaja perempuan menembak mati dua tentera Taliban yang membunuh ibu bapanya kerana menyokong kerajaan.

Remaja itu, Qamar Gul dikatakan bertindak berani selepas menyaksikan kedua ibu bapanya dibunuh hanya kerana sokongan yang ditunjukkan kepada kerajaan.

Insiden yang berlaku minggu lalu itu tercetus selepas beberapa orang tentera menceroboh masuk ke kediaman mereka yang terletak di kampung di Ghor.

Ketua polis, Habiburahman Malekzada memaklumkan AFP bahawa, ketika itu, mereka mencari bapa Qamar yang juga ketua kampung berkenaan.

“Bapa Qamar adalah penyokong kerajaan dan kerana itu tentera Taliban pergi ke rumah mereka dan mengheret bapanya keluar.

“Namun, emaknya cuba melawan dan dua tentera menembak pasangan berkenaan di luar rumah mereka,” katanya.

Katanya, Qamar yang ketika itu berada di dalam rumah mencapai senjata AK-47 yang dimiliki keluarganya dan menembak mati dua tentera itu serta mengakibatkan beberapa yang lain cedera.

Qamar dipercayai berusia antara 14 dan 16 tahun. Kebanyakan warga Afghanistan tidak mengetahui umur sebenar mereka.

Tidak lama selepas insiden itu berlaku, beberapa tentera Taliban datang semula ke kediaman mereka namun, penduduk kampung dan militia prokerajaan berjaya mengusir mereka melalui serangan bersenjata.

Pihak berkuasa Afghan kini membawa Qamar dan adiknya ke lokasi yang selamat.

Tentera Taliban dikatakan kerap membunuh penduduk kampung yang disyaki sebagai pemberi maklumat untuk kerajaan.- AFP

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *