Mayat Lelaki Ditemukan Terapung

Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth 1 untuk proses bedah siasat.

Kota Kinabalu: Mayat lelaki warga emas ditemukan terapung di kawasan perairan berhampiran bangunan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, semalam.

Mayat lelaki berusia 78 tahun itu ditemukan terapung oleh orang ramai kira-kira pukul 5.30 petang.

Mayat warga emas yang ditemukan terapung.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pihaknya menerima maklumat itu daripada orang ramai untuk mendapatkan bantuan.

“Hasil siasatan awal mendapati, mangsa yang bekerja sebagai nelayan disedari hilang oleh ahli keluarganya dan satu laporan polis dibuat kira-kira pukul 11 pagi berhubung kehilangannya.

“Mangsa dikatakan keluar menangkap ikan kira-kira pukul 5.30 pagi sehari sebelum kejadian di kawasan Pelabuhan, Tanjung Lipat, namun tidak pulang ke rumah selepas itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, anak lelaki mangsa yang berusia 36 tahun telah membuat pengecaman melalui gambar dan pakaian yang dipakai mangsa.

“Mayat kemudian dibawa ke jeti Jesselton Point oleh anggota Pasukan Polis Marin (PPM) untuk tindakan lanjut.

“Seramai empat pegawai daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) turut melakukan proses menyahkuman mangsa bagi mencegah penularan Covid-19, ” katanya.

Katanya lagi, mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth 1 dan setakat ini, punca kematian masih tidak diketahui.

“Proses bedah siasat juga akan dijalankan sejurus mendapat keputusan saringan Covid-19.

“Kes diklasifikasi sebagai kes mati mengejut,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *