Kerajaan Sabah Lulus RM10 Juta Baiki Jalan Di Pensiangan

Gambar Ihsan Facebook Datuk Peter Anthony

NABAWAN: Kesengsaraan penduduk di kawasan Pensiangan yang terpaksa mengharungi jalan yang sukar sehingga boleh meragut nyawa akhirnya berakhir apabila Kerajaan Sabah meluluskan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi menaik taraf kawasan tersebut.

Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony berkata, perjalanan lebih kurang 37 kilometer ke perkampungan Pensiangan itu amat bahawa kerana jambatan yang dibina hanya berasaskan kayu-kayan yang sama sekali tidak sesuai dan selamat untuk digunakan.

Gambar Ihsan Facebook Datuk Peter Anthony

“Kita lihat kedudukan tempat Pensiangan ini terletaknya empat buah sekolah yang menempatkan lebih kurang 500 lebih pelajar dan bayangkan kedudukan jalan yang tidak tersedia untuk digunakan terlalu bahaya.

“Sehingga kita nampak viral yang menampakkan mereka ini menggunakan kayu-kayu hutan untuk membolehkan kenderaan-kenderaan,pegawai-pegawai ataupun guru-guru untuk memandu, mengikuti jalan yang sepatutnya tidak sesuai atau tidak selamat untuk digunakan.

“Namun, disebabkan tugas dan sebagainya mereka terpaksa mengharungi jalan yang begitu sukar,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa melawat kerosakan jambatan di sekitar Pensiangan, semalam.

Menurutnya, jambatan yang tidak selamat bukan sahaja masalah utama penduduk di situ, malah jalan menuju ke kawasan perkampungan itu juga didapati tidak berturap.

Ekoran itu,beliau berkata, pihaknya telah meluluskan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi pembinaan segera jalan raya sejauh 37 kilometer itu termasuklah beberapa buah jambatan yang terdapat di sepanjang jalan tersebut.

Di samping itu, beliau juga memohon kerjasama daripada pihak Jabatan Perhutanan agar jalan di sepanjang 16 kilometer yang merupakan kawasan hutan simpan dapat diserahkan kepada Jabatatan Kerja Raya (JKR) bagi memudahkan proses kerja penyelanggaraan.

“Di peringkat JKR, kita akan meminta supaya satu pasukan dihantar dengan segera untuk memberi atau membantu untuk membolehkan tempat-tempat yang begitu sukar dapat dilalui diturap atau diletakkan batu kelikir serta dibina kalbet-kalbet (saluran longkang).

“Saya tahu bahawa lebih 2,500 penduduk yang menetap di sekitar Pensiangan ini termasuk empat sekolah, saya memohon kepada penduduk-penduduk termasuk murid-murid dan guru-guru yang berada di kawasan Pensiangan ini untuk sabar seketika, kita akan berusaha secepat yang mungkin bagi menyelesaikan masalah ini,”katanya. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *