COVID-19: Tawau Kembali Zon Kuning Selepas Catat Satu Kes Baharu Hari Ini

KOTA KINABALU: Satu kes baharu Covid-19 dilaporkan di Tawau dan ia menjadikan daerah ini kembali menjadi zon kuning.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon berkata, dengan pertambahan kes itu, bilangan kes di Sabah meningkat kepada 383 kes.

Untuk daerah Tawau, bilangan kumulatif kes setakat ini adalah sebanyak 89 kes.

Setakat ini, lima daerah di Sabah masih mencatatkan kes aktif termasuk Tawau.

Kes aktif turut dicatatkan masing-masing satu kes di Tuaran, Sandakan, Putatan dan Nabawan.

Beliau berkata, tiada sebarang kes pulih dilaporkan hari ini dan bilangan kumulatif kes pulih setakat ini adalah seramai 371 orang.

Kes kematian di Sabah kekal dengan tujuh kes iaitu empat kes di Kota Kinabalu dan satu kes masing-masing di Tawau, Keningau dan Tambunan.

Di seluruh Malaysia, sebanyak 15 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini dengan jumlah keseluruhan kes Covid-19 setakat ini adalah sebanyak 8,815 kes.

Daripada jumlah itu, 11 adalah kes jangkitan tempatan dan empat kes import. Bilangan kes aktif di Malaysia sehingga kini adalah sebanyak 130 kes.

Manakala, terdapat tujuh kes yang pulih hari ini dan bilangan kumulatif kes pulih sehingga kini adalah sebanyak 8,562 kes. Kes kematian di Malaysia setakat ini adalah sebanyak 123 kematian.

Seramai empat pesakit kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan satu kes memerlukan bantuan alat pernafasan.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *