Semua Kontak Rapat Kes Covid-19 Di Sandakan Sudah Jalani Saringan

SANDAKAN: Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan sudah mengenal pasti semua kontak rapat kes positif Covid-19 terbaharu di daerah ini dan telah menjalani prosedur ditetapkan.

Pegawai Kesihatan Kawasan Sandakan, Dr Johari Awang Besar, berkata individu yang duduk berhampiran dengan kes terbabit ketika dalam pesawat dari Kuala Lumpur ke Sandakan pada 11 Julai lalu juga sudah menjalani saringan.

Katanya, semua kontak rapat dan mereka yang duduk berhampiran kes sudah diarahkan dikuarantin di pusat kuarantin Batu Putih, di sini.

“Orang ramai tidak perlu bimbang. Individu yang dikesan positif tidak ke mana-mana kerana diarahkan dikuarantin sebaik tiba di daerah ini.

“Selepas keputusan ujian saringan menunjukkan lelaki itu positif, kita mengenal pasti semua kontak rapat dan individu yang duduk berhampiran kes sudah dihubungi, disaring dan sekarang menjalani kuarantin,” katanya.

Jumaat lalu, kes positif baharu direkodkan di daerah ini membabitkan kes import warga asing dari Pakistan.

Johari turut menafikan dakwaan ada 100 penumpang dalam pesawat yang bersama-sama kes positif berkenaan seperti mesej yang tersebar menerusi aplikasi WhatsApp.

Beliau juga menafikan arahan dikeluarkan meminta mereka yang mengunjungi premis, restoran dan masjid sekitar Batu 7, di sini untuk menjalani saringan.

“Kes positif terbabit tidak mengunjungi tempat disebutkan.

“Premis yang ditutup sementara pada 17 Julai di Batu 7 cuma kerana proses disinfeksi sedang dilakukan,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *