Tulang Tangan Manusia Ditemukan Dalam Perut Buaya Di Sungai Kalabakan

KALABAKAN: Tulang tangan manusia dipercayai milik seorang mangsa serangan buaya awal bulan ini, ditemukan selepas tertangkapnya seekor buaya berukuran empat meter di Sungai Kalabakan, dekat sini, semalam.

Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Tawau Sailun Aris mengesahkan perkara itu menerusi kenyataan media, hari ini.

“Terdahulu, seorang lelaki berumur 24 tahun, maut selepas dibaham seekor buaya di Kampung Tanjung Sapi pada 3 Julai lalu.

“Mangsa kemudian berjaya ditemukan keesokan harinya dalam keadaan tidak sempurna selepas kedua-dua tangan lelaki itu hilang,” katanya.

Tambah Sailun, berikutan kejadian itu, JHL mengambil inisiatif memasang perangkap pada 5 Julai lalu.

“Kemudian, pegawai bertugas turut memasang pancing selang beberapa hari kemudian sebelum berjaya menangkap reptilia berkenaan.

“Bagaimanapun, ketika tiba di lokasi, haiwan tersebut sudah mati menyebabkan kami menundanya ke kawasan darat,” katanya.

Bangkai buaya itu kemudian dibedah sebelum JHL menemui sisa tulang tangan manusia.

Menurut Sailun, berikutan penemuan itu, pihaknya percaya buaya tersebut adalah haiwan yang membaham mangsa.

“Tulang itu kemudian diserahkan kepada waris mangsa untuk tujuan pengebumian.

“Bangkai buaya itu turut ditanam di lokasi berhampiran,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *