Buat Sendiri Meja Murid

Warga SK Sahabat ll ,Lahad Datu, Sabah bertungkus-lumus menghasilkan meja untuk kegunaan murid. Foto ihsan Suryadi Lagga

LAHAD DATU: Sebagai persediaan menyambut kedatangan murid Tahun Satu hingga Empat pada Rabu ini, warga Sekolah Kebangsaan (SK) Sahabat II Lahad Datu, Sabah berganding bahu menghasilkan meja bagi memastikan peralatan itu mencukupi.

Kaunselor, Suryadi Lagga, 25, berkata projek itu dilaksanakan hasil cetusan idea guru besar, Jais Scotle.

Set meja dihasilkan sebagai persediaan menyambut kedatangan murid Tahun Satu hingga Empat pada 22 Julai depan. Foto ihsan Suryadi Lagga

Beliau berkata, kerja pembuatan meja bermula pada Isnin lalu dan membabitkan semua warga sekolah termasuk kakitangan pembersihan.

Katanya, pelaksanaan projek itu bukan bermakna pihak sekolah tidak mendapat peruntukan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), tetapi inisiatif tambahan dilakukan untuk keselesaan murid.

seandainya meja sedia ada tidak mencukupi kerana keperluan mengadakan penjarakan sosial ketika di dalam bilik darjah.

“Dana untuk membuat meja itu diperoleh hasil sumbangan ibu bapa, guru dan warga sekolah yang dikumpul dengan persetujuan bersama.

“Sehingga kini, 60 meja hampir disiapkan dan sasaran kami menghasilkan 80 set menjelang Rabu depan (hari pertama persekolahan murid tahun satu hingga empat),” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Suryadi yang mula berkhidmat di sekolah itu sejak Januari tahun lalu berkata, kerja pembuatan dijalankan secara bergilir-gilir mengikut kelapangan masing-masing sehingga tamat waktu pejabat.

Katanya, kerjasama daripada semua pihak menjadikan tugasan itu lebih mudah.

“Sejujurnya memang penat kerana setiap kami mempunyai tugas hakiki perlu diselesaikan, tetapi semua ini dilakukan demi keselesaan murid.

“Rasa penat hilang selepas melihat satu persatu set meja siap dihasilkan.

“Diharap, usaha kami dapat memberi manfaat jangka panjang buat murid dan memberi idea untuk sekolah lain melaksanakan projek lebih baik,” katanya.

Suryadi turut berkongsi pengalamannya terbabit dengan projek itu di Twitter dan sehingga artikel ini ditulis, ciapannya mendapat 11,300 tanda suka dan 11,200 ulang ciap.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *