Polis Sabah Tahan 172 Individu Dalam Op Sarang Khas

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass ketika melakukan pemeriksaan ke atas suspek yang ditahan dalam Op Sarang di Kota Kinabalu. – Foto Juwan Riduan

KOTA KINABALU: Seramai 172 individu ditahan dalam operasi Op Sarang Khas yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah, dalam tempoh 15 jam, hari ini.

Dalam operasi bermula 12 tengah malam itu, polis menggempur 60 kawasan ‘panas’ yang dikenal pasti menjadi lokasi penyalahgunaan dadah di Sabah.

Operasi dijalankan dengan kekuatan 41 pegawai dan 267 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) seluruh Sabah.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, semua yang ditahan dikenal pasti terbabit dalam kesalahan membabitkan Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952.

Katanya, semua yang ditahan berusia 18 hingga 62 tahun membabitkan 130 penagih, 23 pengedar dan 19 individu yang didapati memiliki dadah.

“Bagi kesalahan bekalan, polis merekodkan sebanyak 17 kes dengan keseluruhan 23 tangkapan membabitkan tiga kes Seksyen 39B, tiga kes Seksyen 39A(2) dan 11 kes mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Tangkapan lain adalah membabitkan 17 kes memiliki dadah yang disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan selebihnya 130 kes mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” katanya pada sidang media di IPD Kota Kinabalu, semalam.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji.

Zaini berkata, Kota Kinabalu mencatatkan jumlah tangkapan paling ramai iaitu seramai 30 individu dan diikuti Tawau (20), Sandakan (15), Labuan (13) dan Keningau serta Kota Belud masing-masing 12 tangkapan.

Katanya, operasi kali ini juga membabitkan 15 tangkapan mengikut Seksyen 39C manakala 25 lagi suspek disiasat mengikut ADB (Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK)) 1985.

Sementara itu, Zaini memberitahu bahawa Sandakan mencatatkan rampasan dadah jenis syabu paling banyak iaitu sebanyak 519.47 gram bernilai RM51,947.

Katanya, jumlah keseluruhan rampasan bagi operasi selama 15 jam ini pula adalah seberat 718.91 gram yang dianggarkan bernilai RM71,891 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Dengan kejayaan kali ini, JSJN Sabah berjaya merekodkan tangkapan iaitu seramai 6,134 suspek membabitkan akta dadah dan merampas keseluruhan 43.8 kilogram (kg) syabu, 4.7 kg ganja, 2.6 kg ketamine, 2,823 biji ecstasy dan 234 kg daun ketum.

“Polis akan terus melakukan usaha membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah yang menjadi racun dan punca keruntuhan akhlak dalam masyarakat,” katanya.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *