Kanak-Kanak Antara 8 PATI Ditahan Di Tawau

Empat PATI yang ditahan Polis Marin di Tawau, semalam.- Foto PPM

TAWAU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun antara lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan Polis Marin di sebuah rumah perkampungan atas air di sini, semalam.

Tujuh lagi PATI yang ditahan adalah empat lelaki dewasa bersama tiga wanita masing-masing berusia antara 30 hingga 50 tahun sedang bersembunyi di rumah berkenaan.

Tiga PATI termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang ditahan Polis Marin di Tawau semalam.Foto PPM

Rumah berkenaan dipercayai dijadikan transit bagi PATI dari Indonesia yang baru tiba sebelum mereka menyusup masuk ke daerah berkenana.

Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Empat Tawau, Deputi Superintendan Mohd Nazari Ismail, berkata semua PATI terbabit ditahan dalam Ops Gelora Khas.

“Serbuan dijalankan pada jam 6.30 petang itu, dijalankan sepasukan anggota PPM di sebuah rumah tidak bernombor di Batu 4 Jalan Apas susulan maklumat dan risikan mengenai kemasukan PATI di perkampungan atas air berkenaan.

“Dalam serbuan itu, kami berjaya menahan lapan individu dipercayai baru tiba dari Indonesia di dalam rumah berkenaan.

“Ketika serbuan, seorang lelaki dewasa dipercayai pemilik rumah terbabit berjaya meloloskan diri dengan terjun ke laut. Sehingga kini lelaki itu belum dapat dikesan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Nazari berkata, siasatan lanjut mendapati kesemua PATI tidak memiliki dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah untuk berada di negara ini.

Katanya, kesemua PATI berkenaan kemudiannya dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk siasatan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih daripada RM10,000.00 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya selain boleh dikenakan sebatan,” katanya.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *