Bella Astillah Bersalin Tanpa Suami

Bella Astillah sudah berbulan-bulan tidak bertemu suaminya, Aliff Aziz berikutan pintu sempadan masih belum dibuka.

KUALA LUMPUR: Hanya menanti hari menimang cahaya mata kedua, pelakon dan penyanyi, Bella Astillah reda terpaksa memasuki dewan bersalin sendirian tanpa ditemani suami tersayang, Aliff Aziz.

Bella atau nama sebenarnya, Dayang Nabellah Awang Astillah, 26, dijangka melahirkan cahaya mata perempuan pada 17 Julai ini.

Bella berkata, apa yang lebih penting adalah memastikan proses bersalin berjalan lancar.

Penyanyi lagu Tenang itu berkata, biarpun berbulan-bulan tidak dapat bertemu berikutan pintu sempadan masih lagi ditutup, namun Aliff tak lupa tanggungjawab sebagai suami dan bapa.

“Aliff tanpa gagal menghubungi setiap hari bertanya khabar mengenai saya dan anak, Ayden Adrean yang kini berusia tiga tahun.

“Kesibukan kerja juga menyebabkan saya tidak sempat melayan perasaan. Lagipun, saya tidak bersendirian, ibu, ayah dan adik beradik sentiasa menemani. Jadi, saya tidak kesunyian atau sedih terpaksa melalui proses mengandung dan bersalin tanpa suami di sisi.

“Fokus saya hanya mahu proses bersalin berjalan lancar. Lagipun, saya sudah dewasa, tiada masa untuk terlalu banyak berfikir hal sedemikian. Sebaliknya, saya hanya reda dan bersabar dengan apa yang berlaku,” katanya kepada BH Online.

Sepanjang mengandungkan anak kedua, kata Bella, dia hanya mengalami alahan pada peringkat awal, tetapi kini selepas memasuki trimester ketiga, keadaannya kembali normal.

Bella berkata, dia tidak pernah mengeluh apabila pintu sempadan masih belum dibuka kepada orang luar kerana keputusan kerajaan demi kebaikan rakyat.

Walau berjauhan, Bella berkata, dia tetap merasa dekat dengan suaminya kerana setiap hari mereka saling berhubung untuk bertanya khabar.

“Walaupun berjauhan tidak bermakna Aliff melepaskan tanggungjawabnya. Kami berhubung setiap hari sama ada melalui panggilan suara dan video. Suami selalu mengambil berat mengenai saya dan bayi dalam kandungan, jadi saya tidak terasa sunyi.

“Apa yang berlaku adalah sesuatu yang tidak dijangka. Saya akan mengikut sahaja keadaan, jika pintu sempadan di buka kembali, Alhamdulillah. Saya percaya ini semua dilakukan untuk kebaikan, jadi tak perlu untuk saya mengeluh. Semua orang terjejas akibat pandemik COVID-19,” katanya.

Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016. Bagaimanapun, rumah tangga mereka beberapa kali diuji hingga kemuncaknya berakhir dengan perceraian pada 16 Mei, tahun lalu. Namun, pasangan berkenaan kembali rujuk ketika dalam tempoh edah, tetapi perkara itu dirahsiakan kepada pengetahuan umum.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik đŸ‘‰Â https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *