Merusuh Di KKIA: Akjan & Dua Anaknya Didakwa Di Mahkamah

Akjan (kanan) dan peguamnya tiba di mahkamah.

KOTA KINABALU: Seorang ahli perniagaan tempatan dan dua anaknya didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis kerana merusuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Januari lalu.

Datu Mohd Akjan Ali Muhammad, Mahathir Mohd Akjan dan Mohd Ghazali Hanif Mohd Akjan mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Afiq Agoes selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu bersama dua rakan subahat yang masih bebas pada jam 7.45 malam, 19 Januari di hadapan Kaunter Malindo Air di KKIA.

Mereka didakwa di bawah seksyen 147 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara untuk satu tempoh tidak melebihi tujuh tahun dan boleh disebat.

Pegawai Pendakwa, Inspektor Lim Swee Beng, memohon tarikh pengurusan kes dan mencadangkan ikat jamin RM4,000 dengan dua penjamin.

Peguam PJ Pereira yang mewakili Mohd Akjan, memohon ikat jamin ditetapkan pada RM500 dengan dua penjamin tempatan.

Pereira berkata Akjan adalah penduduk tempatan dengan alamat tetap di Sabah dan dia boleh dihubungi bila-bila masa dan dia juga adalah ahli perniagaan dikenali.

Peguam Farazwin Haxdy yang mewakili Mahathir dan Ghazali juga memohon ikat jamin lebih rendah kerana itu adalah dakwaan pertama mereka dan tidak pernah mempunyai sabitan dan kedua-duanya juga tidak mempunyai pekerjaan tetap dan masih di bawah jagaan bapa mereka, iaitu tertuduh pertama.

Beliau juga memohon penjamin sama dibenarkan.Akjan dan dua anaknya dibebaskan dengan jaminan RM1,300 dengan dua penjamin setiap seorang.

Mahkamah menetapkan 5 Ogos untuk pengurusan kes pra-perbicaraan.Dilaporkan bahawa pada 19 Januari, satu kekecohan berlaku antara Wan Muhammad Azri Wan Deris, lebih dikenali sebagai Papagomo, dan sekumpulan lelaki di KKIA.

Kekecohan itu dirakam beberapa orang awam dan dimuat naik di media sosial.

Anggota exco Pemuda Umno itu yang dijadual berlepas ke Kuala Lumpur dikepung kumpulan itu yang tidak berpuas hati kerana Papagomo didakwa menghina Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beberapa lelaki dalam kumpulan itu dilihat memukul Papagomo kerana dikatakan mengoyak poster Shafie dan menggelarnya pengkhianat ketika kempen pilihan raya kecil Kimanis. – Harian Ekspress

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik đŸ‘‰Â https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *