Sekolah Daif Di Sabah Akan Dinaik Taraf

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin.

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan memperuntukkan RM1.252 bilion dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) (2016-2020) bagi menaik taraf dan membangunkan semula bangunan sekolah yang daif di seluruh Sabah.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin, berkata peruntukan dalam RMKe-11 itu adalah untuk membiayai kerja menaik taraf dan membangunkan semula bangunan daif di 237 sekolah di Sabah.

Beliau berkata, baki bangunan daif lain akan dinaik taraf di bawah RMKe-12, namun ia tertakluk kepada keupayaan kewangan kerajaan.

“KPM juga menggunakan peruntukan daripada Program Khusus Penyelenggaraan Institusi Pendidikan bagi tujuan penyelenggaraan, berdasarkan keutamaan mengikut skala impak.

“Peruntukan penyelenggaraan bagi Sabah tahun ini adalah RM39.5 juta,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tuaran) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Radzi berkata, sehingga 31 Mei lalu, sebanyak 414 sekolah di Sabah mempunyai bangunan pada tahap skala impak enam iaitu yang tidak selamat dengan pengesahan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD),

Katanya, sebanyak 52 sekolah mempunyai bangunan tahap skala impak tujuh iaitu bangunan tidak selamat dengan pengesahan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Mengikut perancangan, kerja membaik pulih asrama dan kemudahan lain di sekolah berkenaan akan dapat diselesaikan dalam tempoh lapan bulan selepas proses perolehan dibuat.

“Pada peringkat awal, JKR bercadang membuat pelawaan tender pada Mac lalu tetapi ditangguhkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Terkini, JKR Malaysia telah membuka iklan tender pada 30 Jun dan akan ditutup pada 3 Ogos ini,” katanya.

Oleh kerana asrama tidak selamat digunakan, Radzi menjelaskan, pihak sekolah mengubah suai dewan makan, rumah guru dan bilik darjah untuk dijadikan asrama sementara bagi 114 pelajar.

Katanya, kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyediakan penginapan bagi 58 murid di bangunan berdekatan dengan sekolah yang diubah suai menjadi asrama.

“Baki 143 murid lagi berulang-alik dari rumah ke sekolah. Pihak sekolah sedang mengubah suai beberapa kemudahan dan mengenal pasti premis berhampiran yang bersesuaian untuk disewa sebagai tempat tinggal sementara bagi menampung baki murid ini,” katanya.

Sementara menunggu kemudahan sementara itu siap, beliau berkata kementerian akan menampung tambang pengangkutan bagi murid yang berulang-alik dari rumah ke sekolah.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *