Lelaki Ditahan, Pakaian Sukan Tiruan Bernilai RM13,917 Dirampas

SANDAKAN: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDHEP) Sandakan merampas dan menyita 125 helai jersi dan tiga seluar tiruan menggunakan jenama Adidas, Nike dan Puma bernilai RM13,917.

Turut ditahan adalah seorang lelaki warga tempatan berusia 53 tahun yang juga pemilik premis susulan serbuan ke atas sebuah premis di pusat bandar, di sini, kira-kira pukul 10 pagi, semalam.

Ketua Cawangan PPDHNEP Sandakan, Mohamad Hashim berkata, serbuan dilakukan selepas risikan yang dilakukan selama dua minggu mendapati aktiviti perdagangan menjual barangan tiruan di premis terbabit.

“Kita minta agar peniaga menjual barangan asli yang mana terjamin daripada sudut kualitinya kepada pengguna, manakala pengguna pula diharap tidak menyokong barnagan tiruan.

“Ia bagi melindungi hak cipta dagang yang tidak boleh ditiru sewenang-wenangnya untuk dijual dan mengaut keuntungan dengan cara mudah,” katanya di sini, hari ini.

Mohamad berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 yang memperuntukkan denda RM10,000 bagi setiap barangan atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad berkata, sejak Januari lalu, pihaknya sudah melaksanakan 5,991 pemeriksaan dan merekodkan 125 kes pelbagai akta yang membabitkan rampasan lebih RM2.1 juta dan RM36,400 kompaun.

Selain itu, katanya sebanyak 129 aduan awam diterima sepanjang tempoh itu dan berjaya diselesaikan.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *