Dua Polis Pantau Setiap Sekolah Di KK Pastikan Patuh SOP

Habibi memberi taklimat pematuhan SOP di dalam dan luar kawasan sekolah kepada pelajar Sekolah Tinggi Kota Kinabalu dalam lawatannya ke sekolah itu.

KOTA KINABALU: Polis menetapkan kehadiran dua pegawai perhubungan sekolah di setiap sekolah sekitar daerah ini bagi memastikan pelajar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, sebanyak 19 sekolah menengah dan 34 sekolah rendah telah memulakan pembelajaran seperti biasa hari ini.

“Saya dan rombongan telah bekerjasama dengan sekolah berkenaan termasuk Sekolah Tinggi Kota Kinabalu untuk memastikan pelajar yang hadir mematuhi SOP yang ditetapkan KPM bagi mengekang penularan penyakit Covid-19.

“Kehadiran polis di kawasan sekolah adalah sebagai serampang dua mata iaitu pertama bagi memastikan tiada penglibatan jenayah di kalangan pelajar dan kedua untuk memastikan SOP yang ditetapkan kementerian dipatuhi oleh setiap pelajar,” katanya selepas melawat Sekolah Tinggi Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Tambah Habibi lagi, untuk di kawasan sekolah, pelajar terikat dengan SOP yang dikuatkuasakan oleh guru namun apabila di luar kawasan mungkin ia berada diluar kawalan.

“Jadi saya telah menetapkan dua pegawai perhubungan sekolah untuk membuat rondaan terutama di waktu puncak iaitu ketika pelajar datang ke sekolah awal pagi dan ketika pelajar balik sekolah tengah hari.

“kolaborasi ini bagi memastikan sekiranya berlaku perlanggaran SOP atau perlakukan jenayah dapat dimaklumkan segera untuk diambil tindakan sama ada tindakan disiplin atau undang-undang,” katanya.

Bagaimanapun, Habibi berkata, sepanjang sekolah dibuka sejak 24 Jun lalu bagi pelajar yang terbabit dalam peperiksaan penting didapati tiada perlanggaran SOP berlaku.

“Jika dilihat melalui statistik, boleh dikatakan hampir 100 peratus pelajar mengikut SOP manakala untuk masyarakat Kota Kinabalu 98 peratus mengikut SOP,” katanya.

Terdahulu, Habibi turut memaklumkan, sejak Januari lalu hingga kini, hanya sembilan pelajar sekolah di sekitar Kota Kinabalu terbabit dalam penagihan dadah dan diambil tindakan dibawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Hadir sama dalam majlis itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman dan Pengetua Sekolah Tinggi Kota Kinabalu, Lily Wong Bitt Lee.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *