4,845 PATI Diusir Dari Sabah Sehingga Julai

KOTA KINABALU: Proses pengusiran pulang pendatang asing tanpa izin (PATI) diteruskan melibatkan seramai 94 orang warga Indonesia menerusi pengusiran siri ke-21, hari ini.

Pengarah Keselamatan Negeri, Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Sabah, Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof berkata, dengan pengusiran itu ia menjadikan jumlah keseluruhan pengusiran PATI di Sabah setakat ini seramai 4,845 orang.

Beliau berkata, semua tahanan yang diusir keluar ini telah menjalani saringan Covid-19 sebelum diusir dan penjagaan kebersihan juga diamalkan sepanjang proses pengusiran berlangsung.

Katanya, pengusiran PATI Indonesia juga dapat dilaksanakan dengan lancar tanpa banyak masalah seperti siri-siri pengusiran sebelum ini hasil komitmen kerajaan Indonesia.

“Oleh itu, MKN Sabah merakamkan penghargaan kepada kerajaan Indonesia kerana memberi kerjasama dalam memastikan urusan pengusiran berjalan lancar dan menerima baik kepulangan rakyatnya walaupun negara itu masih mencatatkan kes jangkitan Covid-19 yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Sitti Saleha berkata, peranan masyarakat sangat perlu jika semua pihak ingin melihat masalah lambakan PATI di Sabah dikurangkan ke tahap minimum.

“Maka, laporkan kepada pihak berkuasa sekiranya ada majikan yang menggaji PATI, anggota penguatkuasa yang bersekongkol dalam membawa masuk PATI dan jika melihat PATI menyusup masuk ke sempadan negara.

“MKN dan semua agensi berkaitan tidak pernah jemu untuk menguatkuasakan tindakan ke atas PATI di negeri Sabah ini walaupun ketika wabak Covid-19 belum berakhir demi kesejahteraan dan kedaulatan negara dan negeri Sabah khasnya,” jelasnya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *