Shafie Jangka Pilihan Raya Mengejut Diadakan

KUALA LUMPUR: Keputusan undi belah bahagian dengan majoriti hanya dua undi yang diperoleh Perikatan Nasional ketika memecat Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Arif Md. Yusof semalam adalah gambaran jelas bahawa kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin terlalu lemah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, 111 undi yang diperoleh Perdana Menteri terlalu rendah dan tidak bukannya majoriti mudah, sebaliknya membuktikan kedudukan kerusi ketika ini tergantung.

Sehubungan itu, Mohd. Shafie menjangka bahawa kemungkinan besar pilihan raya mengejut akan diadakan tidak lama lagi dan jika berlaku, pembangkang telah bersedia sepenuhnya.

“Boleh dilihat daripada proses yang dijalankan semalam, orang boleh kata nombor itu sedikit, itu bukan majority mudah, majoriti mudah ialah 112 daripada 222, mereka boleh berhujah seorang Ahli Parlimen dimasukkan ke dalam wad kerana sakit, kami juga boleh berhujah beberapa ahli kami dibeli dan menyokong pihak di sana.

“Apa pun itu adalah jelas Parlimen yang tergantung, maka tiada sesiapa yang boleh mendakwa memiliki majoriti untuk memerintah negara, saya rasa itu menunjukkan bagaimana perkara-perkara menjadi tidak pasti, sangat tidak jelas kerana Parlimen tergantung,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara bersama beberapa media di Rumah Annex Sabah di sini hari ini.

Semalam PN berjaya memecat Mohamad Arif dengan 111 undi berbanding 109 undi yang dimiliki pembangkang.

Keputusan tersebut jelas menunjukkan kerajaan pimpinan Muhyiddin tidak stabil dan rapuh, malah sebarang perubahan pendirian mana-mana Ahli Parlimen selepas ini boleh menyebabkan PN tumbang.

Mohd. Shafie berkata, memerintah dalam status kerajaan yang sangat rapuh amat berisiko, justeru beliau percaya pilihan raya mengejut kemungkinan diadakan untuk membolehkan rakyat membuat keputusan.

Katanya, rakyat juga semakin keliru dengan pendirian ahli-ahli politik yang berubah-ubah, justeru pilihan raya ada yang terbaik untuk menyelesaikan kebuntuan tersebut.

“Saya percaya rakyat sudah bosan dengan ahli politik yang tiada pendirian, keliru dengan apa yang berlaku di sana bukan di sini pun bukan, kemudian ada mencadangkan kembalikan kepada rakyat, biar rakyat buat keputusan.

“Jika anda tanya saya, mari adakan pilihan raya kenapa tidak? Sebab kita tidak mahu rakyat menyalahkan ahli politik seperti kami disebabkan kekalutan yang berlaku, jika pilihan raya maka rakyat akan buat keputusan, tiada sesiapa perlu dipersalahkan,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *