Pasangan Kekasih Didakwa Edar Dadah

Sepasang kekasih didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini dengan pertuduhan mengedar dadah, 1 Julai lalu.- Gambar Rahemang Taiming

TAWAU: Sepasang kekasih didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini dengan pertuduhan mengedar dadah, 1 Julai lalu.

Mengikut pertuduhan, pasangan itu yang masing-masing berusia 53 dan 49 tahun didakwa dengan niat secara bersama mengedar dadah jenis Methamphetamine, seberat 4.193 kilogram (kg) di Cawangan Pemeriksaan Penumpang, Lapangan Terbang Tawau, kira-kira jam 11.40 pagi, 1 Julai lalu.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun kedua-dua mereka hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan secara serentak oleh jurubahasa mahkamah dan tiada sebarang pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Dzul Elmi Yunus.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Juhari Jaafar, bagaimanapun memohon satu tarikh baharu untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia diperolehi selain tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kedua tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Dzul Elmi kemudiannya menetapkan 18 Ogos depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam untuk kedua-dua tertuduh sebelum perbicaraan kes dijalankan.

Semalam, BH melaporkan JKDM, Sabah merampas 4.193 kg dadah disyaki jenis metaphetamine dianggar bernilai RM209,650 di Lapangan Terbang Tawau pada 1 Julai lalu yang dibawa tertuduh pertama di dalam bagasinya ketika tiba dari Kuala Lumpur.

Susulan itu siasatan lanjut membawa kepada penahanan tertuduh kedua di Nilai, Negeri Sembilan sebelum dibawa ke Tawau untuk dakwaan.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *