Kes Kolera Di Sabah Meningkat, Semporna Catat Kes Tertinggi

KOTA KINABALU: Daerah Semporna mencatatkan kes kolera tertinggi di Sabah dengan 16 kes termasuk enam kes yang tidak menunjukkan sebarang gejala.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, setakat hari ini, 39 kes kolera dilaporkan di Sabah termasuk tujuh kes yang tidak bergejala seperti cirit-birit, muntah mahupun kurang selera makan.

Bagaimanapun, tiada kes baharu berkaitan wabak kolera dilaporkan semalam.

Setakat ini, wabak kolera dikesan di tujuh daerah di Sabah termasuk Semporna dan masing-masing 12 kes di Kota Kinabalu; empat kes di Beaufort, tiga kes Putatan, dua kes di Kinabatangan serta satu kes di Tuaran dan Sipitang.

Berikutan kes kolera yang dilihat semakin meningkat, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menasihatkan orang ramai supaya minum air yang dimasak, pastikan buah-buahan, sayuran, latok serta ulam-ulaman dibasuh dengan air terawat sebelum dimakan mentah.

“Orang ramai juga perlu membasuh tangan dengan sabun sebelum makan atau mengendali makanan dan selepas menggunakan tandas.

“Memastikan makanan laut dan daging dimasak dengan sempurna pada suhu yang tinggi serta menggunakan tandas yang bersih dan sempurna,” jelasnya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *