Gangguan Bekalan Air Di Labuan Masuk Hari Ketujuh

Kelihatan lori tangki air mengangkut bekalan air bersih untuk dibekalkan kepada tangki-tangki statik yang disediakan akibat gangguan bekalan air kerana kerja-kerja pembaikan kebocoran paip utama di Jalan Patau-Patau Pulau Enoe hari ini. – Gambar BERNAMA

LABUAN: Krisis bekalan air yang melumpuhkan pulau bebas cukai ini, masuk hari ketujuh dengan 85 peratus rumah pengguna terjejas, sementara kontraktor yang dilantik Jabatan Bekalan Air Labuan sedang berusaha menyelesaikan masalah berkenaan.

Usaha untuk membaiki kebocoran pam paip utama di lampu isyarat Jalan Rancha-Rancha sejak 7 Julai lalu setakat ini tidak berjaya berikutan kawasan berkenaan ditenggelami air.

Pengarah Jabatan Bekalan Air Labuan, Muhammad Zulkeflee Yusof, sebelum ini berkata ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya 10 hari untuk kerja baik pulih di kawasan yang terjejas bagi membolehkan pengguna mendapat kembali bekalan air bersih.

Kebocoran sepanjang 800 milimeter pada pam paip utama daripada tangki penerima di Pulau Enoe (yang membekalkan 85 peratus bekalan air kepada pengguna di pulau ini) dikesan Sabtu lalu dan kerja baik pulih bermula tiga hari kemudian.

Antara faktor yang menyulitkan proses pembaikan adalah kawasan paip yang bocor telah tenggelam meskipun air sudah dipam keluar bagi kerja kimpalan, air dari bawah tanah masih membanjiri tempat berkenaan.

Kakitangan syarikat minyak dan gas, termasuk Petronas Carigali turut membantu tetapi gagal disebabkan hujan lebat membanjiri kawasan paip yang rosak.

Perbadanan Labuan dan Jabatan Bekalan Air Labuan menempatkan 43 tangki statik bekalan air bersih di 35 lokasi di 27 perkampungan dan kediaman penduduk, namun segelintir pengguna masih mengadu mengenai bekalan air yang tidak mencukupi.

“Wujud masalah komunikasi dengan penduduk. Saya tidak tahu bila ia (kerja pembaikan) akan selesai,” kata seorang penduduk, Aishah Bidin.

Seorang lagi penduduk, Elvinna Sibil berkata kekurangan air merupakan kesulitan yang terbesar.

“Kami hanya mandi ala kadar sahaja beberapa hari ini. Baju kotor juga semakin banyak. Banyak perkara yang tidak boleh dilakukan,” katanya.

Krisis itu turut menjejaskan Klinik Kesihatan Membedai dan Jabatan Bekalan Air Labuan telah menghantar bekalan air menerusi lori tangki setiap hari ke klinik berkenaan.

Penduduk berharap bekalan air dapat dipulihkan sebelum perayaan Aidiladha pada akhir bulan ini. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *