PN Semakin Terdesak Dapatkan Sokongan MP Sabah

Terrence Siambun

PENAMPANG : Seorang pemimpin Parti Warisan Sabah hari ini telah mengecam deretan isu politik yang terjadi di Sabah dalam jangka masa seminggu dan menganggap isu-isu tersebut sebagai ‘tekanan’ yang dibuat oleh Kerajaan PN terhadap Kerajaan Negeri Sabah pimpinan Warisan Plus.

Menurut Bendahari Agung Warisan, Terrence Siambun, tekanan demi tekanan yang dibuat itu menunjukkan bagaimana Kerajaan PN sekarang amat terdesak untuk mendapatkan sokongan ahli-ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak  menjelang sesi Dewan Rakyat minggu depan yang mungkin akan menyaksikan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohammed membentangkan usul undi tidak percaya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yasin.

“Mula-mula mereka tunjukkan kuasa mereka dengan cuba memperlekehkan dan menjatuhkan imej Ketua Menteri Sabah di negerinya sendiri dengan membatalkan jemputannya ke majlis sambutan Hari Guru di peringkat Negeri Sabah.

“Lepas tu, mereka cuba mengambil hati Sarawak dengan memberikan hak untuk menganjurkan Hari Malaysia pada September ini yang sepatutnya milik kita kepada negeri itu meskipun Sarawak telahpun menganjurkan acara yang sama tahun lalu.

Tidak cukup dengan itu, mereka mahu membubarkan MPKK dan memperkenalkan JPKKP yang saya percaya mereka akan gunakan sebagai organ penyampaian agenda politik mereka diperingkat akar umbi disetiap negeri-negeri bukan milik PN.

“Mereka berbuat demikian semata-mata kerana Ketua Menteri kita, Shafie Apdal tidak mahu berganjak dari keputusannya untuk tidak mahu berkerjasama dengan UMNO dan pada masa yang sama, menghormati persefahaman politik yang telah dibuat diantara Warisan dan PH sebelum PRU14.

“Dan usaha demi usaha mereka ini untuk menekan Ketua Menteri Sabah ialah bukti jelas yang mereka amat risau dengan kerapuhan pentadbiran PN yang boleh roboh bila-bila masa sehinggakan mereka tidak berani mengadakan sesi Dewan Rakyat yang lalu dengan menggunakan Covid 19 sebagai alasan walaupun DUN Sabah telahpun menunjukkan bahawa sesi tersebut boleh diadakan dengan syarat SOP yang ketat dipatuhi,” katanya lagi.

Terrence juga mengatakan bahawa Warisan tidak akan berdiam diri dan sudah pastinya akan membalas balik tekanan-tekanan yang dibuat terhadap parti itu.

“Ramai orang cakap keadaan sekarang sama seperti ketika PBS memerintah Sabah pada 1990an dimana PBS langsung tidak berpeluang untuk menentang BN tetapi saya rasa keadaan tidak sama.

Masa itu, BN stabil dan tidak ada sebarang pergaduhan ataupun perebutan terjadi dikalangan parti-parti komponennya maka agak sukar untuk menentang perkataan tersebut samada di peringkat negeri mahupun persekutuan.

Berbanding dengan PN yang sedang berdepan dengan ‘silent majority’ yang masih marah dengan ‘Sheraton Move’,  yang merasa sangsi dengan ahli-ahli Parlimen mereka sendiri yang mungkin akan menyokong usul undi tak percaya Tun Mahathir terhadap Muhyiddin Yasin, yang mungkin akan retak kerana perebutan kuasa antara 2 komponen utama serta tindak-tanduk Kerajaan PN yang dilihat gemar menggunakan agensi-agensi penguatkuasaan untuk menjatuhkan ahli-ahli politik Warisan dan PH,  Warisan sudah pasti akan melawan balik segala tekanan-tekanan yang ini.

Kita telah berjaya mengalahkan UMNO Sabah pada PRU14 yang lalu sungguhpun Umno yang dipimpin oleh Najib Razak, Zahid Hamidi dan Musa Aman ketika itu telah menggunakan segala apa yang ada dengan dana pilihanraya yang cukup besar untuk menjatuhkan Shafie Apdal maka saya yakin Warisan masih boleh mengharung ombak PRU15 yang akan datang,” katanya.

Terrence juga menyatakan rasa terharu dan terima kasihnya kepada pejuang-pejuang Warisan yang masih setia dan kekal mempertahankan parti itu dimana-mana sahaja.

“Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada ahli-ahli biasa Warisan yang saya kenal dan nampak di Facebook dan Whatsapp mempertahankan Ketua Menteri dan pemimpin-pemimpin Warisan yang lain sungguhpun mereka ini rata-ratanya tidak memegang sebarang jawatan dalam parti.

Ahli-ahli biasa ini telahpun menjalankan tugas mereka dalam mempertahankan integriti dan maruah parti maka kita akan melipat-gandakan usaha untuk memberikan penerangan berterusan kepada rakyat Sabah mengenai tekanan-tekanan yang sedang dibuat terhadap Ketua Menteri.

Banyak dakyah, fitnah dan hasutan telah dibuat terhadap pemimpin-pemimpin Warisan dan kita akan lawan balik kerana kita tidak mahu terus menerus ditekan oleh Malaya sedangkan kita tidak pernah pun mahu mencampuri urusan mereka disana,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *