‘Ku Sangka Anak, Isteri Ditelan Tsunami’

(Gamabar Kanan) Rahim dan isteri keduanya, Suryati yang disangkanya terkorban dalam tragedi tsunami Aceh. (Tengah) Nurul Happy Zalindraa tidak pernah berjumpa bapanya. (Kiri) Rahim Said.

Umpama mati hidup semula. Itu yang dirasakan Rahim Said, 52, sebaik mengetahui anak dan isteri yang disangka terkorban dalam tragedi tsunami di wilayah Aceh, Indonesia pada 2004 sebenarnya masih hidup.

Biarpun hanya bersua muka menerusi panggilan video WhatsApp pada Isnin lalu, peluang berkenaan mengubat kerinduan dan merungkai sebuah rahsia yang tersimpan selama belasan tahun.

Menariknya, pertemuan secara maya itu berlaku hasil kuasa tular dalam tempoh tiga jam selepas penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Nur Lyana Aqilah Ahmad Nasir, 22, memuat naik ciapan berkaitan usaha pencarian seorang gadis Aceh menjejaki bapanya, rakyat Malaysia menetap di Kedah.

Menceritakan kisah sedih itu, Rahim yang menetap di Kulim mengakui terpisah dengan isteri keduanya, Suryati Ahmad Badawi,49, dan anaknya yang belum lahir ketika itu, Nurul Happy Zalindraa,19, pada 2000 ketika wanita itu pulang ke kampung halamannya di Aceh bagi menghadiri kenduri pernikahan adiknya.

Menurutnya, dia tidak dapat menemani isteri yang hamil empat bulan ketika itu berikutan masalah dokumentasi.

“Sejak kepulangannya ke Aceh termasuk bersalin anak kami (Nurul Happy Zalindraa) sehingga sebelum tragedi tsunami pada Disember 2004, kami sentiasa berhubung seperti biasa.

“Namun, selepas tragedi itu kami terputus terus hubungan. Saya di sini tidak pernah putus asa beberapa tahun cuba menjejaki anak dan isteri menerusi kenalan dan saudaranya di Aceh.

“Malangnya, banyak khabar berita yang saya terima mendakwa anak dan isteri sudah terkorban dalam tragedi itu,” katanya kepada Metro Ahad.

Katanya, selepas menerima jawapan sama berulang kali selain ramai mengesahkan Suryati dan anak terkorban dalam tragedi itu, dia pasrah dan reda dengan ketentuan Allah SWT.

“Saya reda…sesekali jauh di sudut hati terbit jua rasa ralat dan bersalah selepas ‘pemergian’ mereka.

“Malah, hampir setiap tahun jika ada rezeki lebih kami sekeluarga di sini tidak pernah lupa mengadakan kenduri tahlil untuk mereka,” katanya.

Rahim berkata, keajaiban tiba-tiba muncul Isnin lalu apabila Nur Lyana Aqilah menghubunginya memaklumkan anak dan isterinya di Aceh masih hidup.

“Saya rasa macam tak percaya apabila ada individu memberitahu anak dan isteri saya itu masih hidup menyebabkan terduduk seolah-olah tidak percaya mendengar berita itu.

“Antara seronok dan pilu pelbagai perasaan timbul, rasa macam mati hidup semula pun ada,” katanya.

Rahim yang memiliki 13 anak termasuk anak tunggal hasil perkongsian hidup dengan Suryati berterima kasih kepada warganet terutama Nur Lyana Aqilah yang menjadi orang tengah kepada pertemuan mereka sekeluarga.

“Sejak Isnin lalu, setiap hari kami sekeluarga di sini sentiasa berhubung dengan keluarga di sana menerusi panggilan video.

“Saya juga berterima kasih kepada keluarga isteri saya di Aceh kerana menjaga anak dan isteri saya selama ini.

“Kami merancang akan bertemu selepas pasca Covid-19 ini berakhir,” katanya sebak.

Sementara itu, Nurul Happy Zalindraa berkata, pertemuan dengan bapanya di platform maya itu bagaikan mimpi selepas usaha mereka sekeluarga menjejaki lelaki itu di Malaysia tidak pernah berhasil selama ini.

“Ibu dan saya di sini sudah puas mencari abah, kami juga dimaklumkan abah sudah tiada (meninggal dunia).

“Hendak pergi Malaysia kami tiada wang, malah nombor telefon keluarga di Malaysia juga tiada.

“Tahun lalu, saya tergerak hati memberanikan diri mencari abah di media sosial kebetulan untuk urusan dokumen pernikahan saya yang akan berlangsung penghujung tahun ini.

“Saya cuba menghantar direct message (DM) secara rambang kepada mana-mana orang di Malaysia, namun tidak pernah berjaya sebelum mesej saya akhirnya dibalas Nur Lyana Aqilah yang sudi menawarkan diri membantu saya.

“Rasa macam mimpi pertama kali dapat mendengar suara dan melihat abah melalui panggilan video, saya terharu, gementar…tetapi rasa bahagia sungguh,” katanya yang menuntut di sebuah institusi jururawat di Lhokseumawe, Aceh.

Bagi Nur Lyana Aqilah, dia tidak menyangka bantuan kecilnya itu memberi impak besar dalam keluarga Rahim yang terputus hubungan sejak 16 tahun lalu.

“Saya sangat berbesar hati, malah tak pernah terfikir akan dapat bantu keluarga ini sedangkan kami tidak kenal antara satu sama lain.

“Saya percaya semua ini sudah diatur cantik Allah SWT yang menggerakkan hati saya untuk membalas DM Nurul Happy Zalindraa sebelum bersetuju membantunya.

“Saya tergerak hati membantu gadis ini kerana percaya dia memang dalam kesusahan sebelum meminta izin daripadanya untuk membuat ciapan pencarian bapanya di Twitter pada Isnin lalu.

“Alhamdulillah, dalam tempoh tiga jam saya memuat naik ciapan itu, ada seseorang menghantar mesej memberikan nombor telefon Pak Cik Rahim sebelum saya memberanikan diri menghubunginya,” katanya.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *